SPK KEM SEGENTING 1980

SPK KEM SEGENTING 1980

Friday, March 15, 2013

TJP37022 CABARAN SEBAGAI PEGAWAI MEMERINTAH


THE CHALLENGES
  PEGAWAI MEMERINTAH  


Satu lagi pengalaman penting yang aku perolehi semasa menyandang jawatan KSK di MLU antara Julai 2008 hingga Dis 2010 ialah pengalaman sebagai Pegawai Memerintah. Sekali lagi mulai 14 Feb 12 hingga KINI (31 OGOS 13). Jawatan ini agak unik.  Ia merupakan jawatan sekunder (tiada perjawatan).  Atas kapasiti sebagai KSK aku juga diberi amanah menjawat sebagai Pegawai Memerintah (Commanding Officer) Markas.  Walaupun namanya jawatan sekunder tapi tugas dan kuasanya adalah sama dengan CO di Pangkalan-pangkalan TUDM.

Bagi sahabat-sahabat/skot-skotku dari RAMD, RRD, KAD, RAD mahupun TUDM khususnya juruterbang yang berpangkat Lt Kol ke atas, jawatan sebagai Pegawai Memerintah adalah salah satu kemestian dalam kerjaya mereka. Namun bagi seorang Pegawai Materiel seperti aku, peluang untuk menjadi Pegawai Memerintah amat sukar diperolehi.


Dalam TUDM hanya ada satu sahaja UNIT Materiel yang mempunyai jawatan berstatus Pegawai Memerintah, iaitu Pusat Latihan Pengurusan Logistik (PLPL).

Dengan memegang jawatan ini bermakna aku ada dua tugas penting, iaitu KSK dan CO.    Sebagai KSK, aku ada 5 orang PS1 di bawah perintah iaitu PS1 Beli, PS1 Pembaikan, PS1 KAS, PS1 Khidmat Domestik dan PS1 Kewangan & Belanjawan.  PS1 Rancang & Piawaian (R & P) walaupun bertanggungjawab terus kepada Panglima masih juga dibawah kawalan KSK.  Manakala sebagai Peg Memerintah, di bawah kawalanku ialah PS1 Tadbir, Staf Awam, Khidmat Tempatan dan Fleet Kenderaan.

Semua Ketua MATRA adalah Komander Rendah kepada Pegawai Memerintah MLU.

Sebagai CO, antara peranan adalah membicarakan anggota yang melakukan kesalahan di bawah Akta ATM 1972.  Sepanjang lebih 3 tahun sebagai CO, banyaklah pengalaman aku membicarakan dan menjatuhkan hukuman kepada anggota bawah perintah.  Bermula dari satu hari sehingga 90 hari tahanan (detention), tahanan gaji, penurunan pangkat, pembatalan pingat kelakuan baik dan sebagainya.

Pastinya, amat sukar dalam kedudukan membicarakan dan menjatuhkan hukuman kepada anak buah sendiri.  Simpati terpaksa diketepikan demi melaksanakan tugas.

Dalam dunia ketenteraan, Pegawai Memerintah (Commanding Officer) atau lebih biasa dengan panggilan 'CO' merupakan individu yang paling 'powerful' dalam sesebuah unit, kem, batalion, rejimen, gerisen, hospital ATM, pangkalan udara dan kapal TLDM.  Kalau sesebuah unit adalah sebuah negeri, maka CO adalah Raja atau Presiden.

Aku mula kenal apa itu CO semasa latihan pegawai kedet di Port Dickson lagi. Penguasa tertinggi di SPK ialah Komandan.  Mengikut undang-undang tentera, Komandan adalah sebenar-benarnya CO untuk SPK.  Tetapi semasa dalam latihan, terdapat 3 Batalion Kedet (Tuah, Jebat dan Kasturi) yang setiap satu diketuai oleh seorang CO berpangkat Mejar.  Batalion aku (Kasturi) diketuai oleh Mej Fathulzaman bin Mohd Bukhari.

Dalam TUDM, CO sesebuah pangkalan udara lazimnya adalah dari kalangan juruterbang (pilot). Peluang untuk pegawai cawangan lain untuk menjadi CO agak terhad. Pada masa aku masuk TUDM tahun 1981, unit yang mempunyai CO bukan pilot hanyalah TUDM Ipoh (Cawangan Tadbir), TUDM Kinrara (Kejuruteraan), PPU 1/PPU 2/PPU 3 (Pertahanan Udara- KPU) dan Pusat Materiel Udara (Logistik) selain dari itu ada dua unit latihan yang mempunyai Komandan iaitu SEKTAHUD (KLLU) dan SEKTAHUD (KPU).

Apabila TUDM semakin berkembang dan berlaku beberapa rombakan struktur organisasi, terdapat peningkatan dan pemansuhan taraf perjawatan.  Berikut adalah kedudukan terkini perjawatan bertaraf Pegawai Memerintah (CO) sebenar:
  • Komander Pangkalan Udara Butterworth - Brig Jen TUDM (Juruterbang)
  • Komander Pangkalan Udara Kuantan - Brig Jen TUDM (Juruterbang)
  • Komander Pangkalan Udara Subang - Brig Jen TUDM (Juruterbang)
  • Komander Pangkalan Udara Labuan - Brig Jen TUDM (Juruterbang)
  • Komander Pangkalan Udara Gong Kedak - Brig Jen TUDM (Juruterbang)
  • Komander Pangkalan Udara KL - Kol TUDM (Juruterbang)
  • Komandan Kolej Tentera Udara, Alor Setar - Kol TUDM (Juruterbang)
  • Komandan Institut Latihan Tentera Udara - Kol TUDM (Urusetia)
  • Komandan INSPRA - Kol TUDM (PRA)
  • Pegawai Memerintah Markas Rejimen - Kol TUDM (Urusetia - PASKAU)
  • Pegawai Memerintah 322 Skn Bkt Ibam - Lt Kol TUDM (PRA)
  • Pegawai Memerintah 323 Skn Bkt Lunchu - Lt Kol TUDM (PRA)
  • Pegawai Memerintah PLPL - Lt Kol TUDM (Materiel)
  • Pegawai Memerintah SITU, P.Pinang - Lt Kol TUDM (Terbuka)
  • Pegawai Memerintah PUKALUB Subang - Mej TUDM (PRA)
  • Pegawai Memerintah PUKALUB KK - Mej TUDM (PRA)
Selain dari itu, di markas-markas Formasi seperti No 1 dan 2 Div Udara, MLU dan MPLU juga terdapat seorang CO Markas yang dilantik oleh Panglima Markas Formasi berkenaan.  Dan, semasa bertugas di MLU (sebagai KSK dari Jul 2009 hingga Jan 2011) aku berpeluang menjawat jawatan CO Markas Logistik Udara.  Dulu (sebelum reorganisasi TUDM pada tahun 1994) pegawai Materiel ada peluang jadi CO semasa PMU masih ada, setelah reorganisasi TUDM, PMU telah dibubarkan dan dipecahkan kepada 4 buah MATRA.  namun Ketua MATRA yang sedia ada hanyalah bertaraf Komander Rendah kepada CO Pangkalan di mana MATRA berkenaan ditempatkan.


Apa itu CO?

Di dalam ATM, agensi-agensi yang mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan bidang kuasa keadilan tentera adalah seperti berikut:

a.         Pihak Berkuasa Atasan Yang Berkenaan, (PBAYB) Pegawai Memerintah atau Pemerintah, Komander Detacmen dan Komander Rendah apabila diwakilkan kuasa.

b.         Mahkamah Tentera.

Mengikut Seksyen 2, dan Seksyen 101 (1) Akta AT 1972, Peraturan 4,5,6 dan 11 Peraturan-peraturan AT (Bidang Kuasa Terus) 1976, seseorang yang mempunyai kuasa Pegawai Memerintah adalah Pegawai, walau apa jua pangkatnya yang secara langsung memerintah pasukan di mana ia berkhidmat/bertugas atau yang dilantik  dan berhubung dengan seseorang yang dituduh atas sesuatu kesalahan ertinya Pegawai yang mempunyai kuasa untuk memerintah OKT itu.

Pada kebiasaannya, ianya adalah seorang Ketua Staf sesuatu formasi atau Pegawai Memerintah sesuatu pasukan besar atau Pegawai Pemerintah sesuatu pasukan kecil yang berkhidmat secara bebas, atau penggantinya yang diisytiharkan dengan sah

Bahagian 1 Seksyen 2 Akta Angkatan Tentera 1972 (Akta 77) mendefinisikan 
"Pegawai Memerintah" sebagai - sesiapa jua,  ertinya pegawai, walau apa jua pangkatnya, yang secara langsung memerintah  unit, kapal, stesen, atau pasukan di mana ia berkhidmat atau bertugas.

Seseorang CO boleh membicarakan secara terus terhadap pegawai kedet, askar-laskar dan anggota sukarela yang berpangkat rendah dari Pegawai Waren. 

CO juga boleh menolak pertuduhan yang pada budibicaranya tidak perlu dibicarakan secara terus, atau memutuskan untuk dirujuk kepada Mahkamah Tentera.  Secara amnya (secara terperinci perlu di rujuk kepada Sek 97 AKTA) CO juga setelah membicarakan sidituduh dan didapati bersalah boleh menjatuhkan hukuman seperti berikut:

1.   Tahanan sehingga 90 hari  (dengan syarat-syarat tertentu);
2.   Denda (tidak melebihi 14 hari gaji);
3.   Amaran keras atau amaran;
4.   Lucutan lencana kelakuan baik;
5.   Tahanan gaji;
6.   Penurunan pangkat atau memulangkan ke pangkat asal.
7.   Apa-apa hukuman ringan (rujuk Jadual Pertama (Peraturan 10) dalam PPAT 1975 (Bidangkuasa terus), iaitu:
  • pecat dari jawatan
  • sekatan keistimewaan
  • tugas pengawal tambahan (tidak lebih dari 3 hari)
  • teguran
  • tahanan cuti (tidak lebih dari 28 hari)
  • tahanan cuti makan luar
  • kawat tambahan tidak melebihi 2 jam sehari selama tidak melebihi 7 hari.
CO Markas -MLU

Pengalaman menjawat jawatan CO di MLU merupakan satu pengalaman baru dan amat berharga dalam kerjayaku sebagai pegawai TUDM.  Walaupun ia hanya satu tugas tambahan (secondary duty) kerana tugas primaku ialah Ketua Staf Khidmat (KSK) - ia sebenarnya amat mencabar,membebankan dan banyak menggunakan masa tugas harianku. Kuasa sebagai CO Markas adalah sama dengan kuasa mana-mana CO atau Komander Pangkalan Udara.

Selaku CO, rutin harianku adalah menentukan urusan pentadbiran di Markas berjalan lancar.  Pentadbiran melibatkan pengurusan anggota, kompleks bangunan dan aset Markas.  Antara dokumen yang mesti ditandatangani oleh seorang CO ialah:
  • Permohonan Am
    • Pertukaran
    • Penamatan perkhidmatan
    • Perkahwinan/perceraian
    • Penyambungan perkhidmatan
  • Sokongan kenaikan ke pangkat tetap.
  • Sokongan untuk Pergerakan Gaji.
  • Sokongan untuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)
  • Sokongan untuk Pingat
  • Buku Rekod Cuti
Pada aku, sebagai CO, tugas yang paling berat sekali ialah untuk menjatuhi hukuman ke atas pesalah.  CO mempunyai kuasa istimewa seperti seorang Majisteret.  Apabila sidituduh (accused) telah mengaku salah, hukuman mesti dijatuhkan pada masa itu juga.  Walaupun terdapat garis panduan dalam Akta 77, namun CO perlu membuat pemilihan hukuman seadil-adilnya. 

Tugas 'membicara terus' angggota yang dituduh juga boleh dikatakan berlaku setiap bulan.  macam-macam kesalahan seperti kesalahan menyalahguna dadah, Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC), mencuri, tinggal tugas dan sebagainya. Sebagai CO, aku perlu melaksanakan tugas dengan seadil-adil yang mampu- khususnya dalam meneliti jenis kesalahan, latar belakang anggota dan ketika menjatuhi hukuman.  Sebagai CO, hukuman yang paling berat boleh diberikan kepada pesalah ialah Tahanan selama 90 hari (3 bulan).

Sebagai CO aku telah mengadakan perbarisan setiap dua bulan.  Dalam perbarisan ini, aku berpeluang membuat ucapan bagi menyampaikan maklumat penting, peringatan dan sebagainya.

Satu lagi, semasa perbarisan atau apa-apa majlis peringkat Markas, biasanya bacaan doa dibacakan oleh staf KAGAT yang dijemput dari Markas Pangkalan KL.  Aku telah memperkenalkan supaya bacaan doa akan dibacakan oleh pegawai-pegawai berpangkat Kapt (PS3) secara bergilir.  Aku arahkan supaya Ajutan menyediakan teks doa yang diperolehi dari Pegawai Agama Pangkalan, dan memilih 5 pegawai untuk berlatih membaca doa (supaya membaca dengan bacaan yang betul).  Aku tak pasti sama ada amalan ini diteruskan atau tidak.



  TEKS UCAPAN PEGAWAI MEMERINTAH  
  PERBARISAN PEGAWAI MEMERINTAH 1/2008  
  16 SEP 2008  

DAN SELAMAT SEJAHTERA

MARILAH KITA MENGANGKAT SETINGGI-TINGGI KESYUKURAN KE HADRAT ALLAH SUBHANAHU WATAALA YANG TELAH MENGANUGERAHKAN KESIHATAN DAN KESEJAHTERAAN KEPADA KITA UNTUK TERUS MENGHIRUP UDARA DI ATAS MUKA BUMI INI DAN DAPAT KITA MENYERTAI PERBARISAN PADA PAGI INI, MANAKALA YANG BERAGAMA ISLAM, DAPAT SEKALI LAGI MENJALANI IBADAH PUASA BULAN RAMADHAN TAHUN INI.

SAYA TERLEBIH DAHULU MENGUCAPKAN SETINGGI-TINGGI TERIMA KASIH DI ATAS KERJASAMA SAUDARA-SAUDARI UNTUK MENJAYAKAN PERBARISAN PADA PAGI INI. INI MERUPAKAN PERBARISAN PERTAMA SAYA SEJAK SAYA MENGAMBIL ALIH TUGAS ATAU JAWATAN PEGAWAI MEMERINTAH MARKAS LOG UDARA SEJAK 14 JULAI 2008 DAN MENERIMA WATIKAH DARI PANGLIMA BERKUATKUASA MULAI 1 OGOS 2008.

SECARA KEBETULAN, HARI INI MERUPAKAN TARIKH YANG BERSEJARAH BAGI NEGARA KITA MALAYSIA.  TANGGAL 16 SEPTEMBER MERUPAKAN HARI ANGKATAN TENTERA MALAYSIA DAN TAHUN INI MERUPAKAN HARI ULANGTAHUN ATM YANG KE 75 ATAU JUBILEE INTAN.  SEBENARNYA TARIKH 16 SEP INI  DIAMBIL BERSEMPENA DENGAN HARI PENUBUHAN NEGARA MALAYSIA PADA 16 SEP 1963.  OLEH KERANA HARI PENUBUHAN ATM PADA 1 MAC 1933 TELAH DIAMBIL SEBAGAI HARI TENTERA DARAT, MAKA KERAJAAN TELAH MENETAPKAN 16 SEP SEBAGAI HARI ATM.  SEHUBUNGAN ITU, SAYA INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT HARI ANGKATAN TENTERA YANG KE 75 DAN HARI MALAYSIA YANG KE 45. UNTUK ORANG ISLAM, HARI INI JUGA MERUPAKAN SATU TARIKH BERSEJARAH KERANA MALAM INI, MALAM 17 RAMADHAN MERUPAKAN TARIKH ALQUR’AN DITURUNKAN, ATAU KITA KENALI SEBAGAI ‘NUZUL QUR’AN’.

SAYA JUGA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN PADA PAGI INI UNTUK MENGUCAPKAN SELAMAT DATANG KEPADA PEGAWAI2 DAN ANGGOTA LLP YANG BARU MELAPUR DIRI KE MARKAS INI DALAM TEMPOH DUA BULAN KEBELAKANGAN DAN KALI PERTAMA MENYERTAI KITA DALAM PERBARISAN PM MLU INI. KITA SAMA-SAMA UCAPKAN SELAMAT BERTUGAS DI MLU DENGAN PENUH DEDIKASI. MLU MEMANG SENTIASA PANAS MEMBARA MENANTI KEDATANGAN SDR-SDRI.

PERBARISAN PEGAWAI MEMERINTAH SEPERTI INI BUKAN SAHAJA SATU KEPERLUAN ‘REGIMENTAL’ DALAM MANA-MANA ORGANISASI ATM BAHKAN KINI IA MENJADI SATU SYARAT DAN KEPERLUAN UNTUK MEMENUHI KEHENDAK AUDIT PENILAIAN KUALITI SESUATU ORGANISASI.  IA MENJADI SATU KRITERIA WAJIB DALAM PENILAIAN UNTUK ANUGERAH KUALITI DAN JUGA AUDIT SYSTEM STAR RATING (SSR) YANG BARU DIPERKENALKAN PADA TAHUN INI.  OLEH KERANA PELUANG UNTUK BERINTERAKSI DENGAN ANGGOTA BAWAHAN ADALAH AMAT TERHAD, MAKA PERBARISAN SEPERTI INI JUGA BOLEH MENJADI PLATFORM UNTUK PEGAWAI MEMERINTAH MENYAMPAIKAN  MAKLUMAT KEPADA SEMUA PERINGKAT ANGGOTA.

DI MARKAS INI, JAWATAN PM MERUPAKAN JAWATAN ‘SECONDARY’ TIDAK SEPERTI JAWATAN PEGAWAI MEMERINTAH DI DALAM UNIT-UNIT MENDIRI, NAMUN KUASA-KUASA YANG DIMILIKINYA ADALAH SAMA SEPERTI KUASA PEG MEMERINTAH LAIN MENGIKUT PERUNTUKAN DALAM AKTA ATM 1972.  MALAHAN KUASA PM MLU INI TURUT MELIPUTI ANGGOTA YANG BERTUGAS DI KEEMPAT-EMPAT BUAH MATRA.

DI ATAS KEPERCAYAAN DAN AMANAH YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA SAYA, DENGAN IZIN ALLAH SAYA AKAN SEDAYA UPAYA UNTUK MELAKSANAKAN TUGAS SEBAIK MUNGKIN BAGI MEMASTIKAN WARGA MLU SENTIASA BERADA DITAHAP YANG TERBAIK PADA SEBILANG MASA.

WALAU BAGAIMANAPUN, KETIKA INI, KEADAAN DI MARKAS MASIH BELUM STABIL ATAU MASIH DALAM KEADAAN KEKALUTAN YANG SUKAR UNTUK DIPULIHKAN.  PELBAGAI ISU YANG MENGHAKIS KEPERCAYAAN TERHADAP PROFESIONALISMA LOGISTIK (ENGINEERING + MATERIEL) TERUS MENERUS MELANDA MARKAS INI, IBARAT GULUNGAN OMBAK LAUTAN MENGHEMPAS PASIR DI PANTAI TANPA HENTI.

KALAU TAHUN LEPAS, SELURUH PERINGKAT TUDM, MENGIKTIRAF APA YANG TELAH BERLAKU DI MLU SEBAGAI SATU ‘TSUNAMI’.  KITA SEMUA MENGHARAP ITU ADALAH SATU EPISOD YANG TERAKHIR, DAN TAHUN INI KITA BOLEH BERKERJA UNTUK MEMPERBAIKI SEGALA KESILAPAN YANG LALU. NAMUN IA NAMPAKNYA TIDAK MENJADI KENYATAAN.  KUHARAP PANAS HINGGA KE PETANG, RUPANYA HUJAN DI TENGAHARI. TAHUN INI KITA SEKALI LAGI MENERIMA TAMPARAN HEBAT DENGAN ISU KEHILANGAN 2 BUAH ENJIN PESAWAT F5 DAN 3 BUAH BUKU LOG ENJIN PESAWAT YG SAMA. KEHILANGAN INI DIJANGKA TELAH BERLAKU PADA PENGHUJUNG TAHUN LEPAS, DAN HANYA DISEDARI PADA PERTENGAHAN TAHUN INI.

HAKIKATNYA IALAH, DICELAH-CELAH YANG BERDIRI DI DALAM PERBARISAN KITA PADA PAGI INI TERDAPAT PETUALANG ATAU PENGKHIANAT, ATAU MANUSIA YANG BERTOPENGKAN IBLIS. MEREKA INI MENGGUNAKAN KECEKAPAN DAN ILMU PENGETAHUAN MEREKA UNTUK MELAKUKAN JENAYAH DAN SANGGUP MENGGADAI MARUAH UNTUK MENGKHIANATI ORGANISASI SERTA RAKAN-RAKAN YANG SAMA-SAMA BERKERJA, HANYA, UNTUK MEMENUHI HAWA NAFSU DAN KEPENTINGAN DIRI.  IBARAT KATA PEPATAH, HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI.

LIHATLAH AKIBATNYA, SAYA TUJUKAN KEPADA SESIAPA YANG TERLIBAT DALAM JENAYAH INI, DI ATAS PERBUATAN INI, BUKAN SAHAJA IMEJ KITA SEMUA TERJEJAS, MALAHAN TELAH MENYUSAHKAN KEHIDUPAN BEGITU RAMAI ORANG LAIN. DAN ORANG YANG MENGALAMI KESUSAHAN SAMA ADA TEKANAN FIZIKAL DAN MENTAL INI ADALAH SAHABAT-SAHABAT YANG SAMA-SAMA BERKERJA DENGAN PENUH KEIKHLASAN.  BEGITU BANYAK MASA TELAH TERBUANG UNTUK MEMBANTU USAHA MENCARI PENGKHIANAT INI. PELBAGAI SIASATAN TELAH DILAKSANAKAN, SEPERTI SIASATAN PROBOS MARSYAL, SIASATAN POLIS DARI BUKIT AMAN, KITA JUGA ADA LEMBAGA PENYIASATAN, KAWAN-KAWAN KITA INI (TERMASUK SAYA SENDIRI) TERPAKSA TURUN NAIK BERULANGKALI UNTUK MEMBUAT STATEMENT (SEBAGAI SAKSI).  DAN SAYA SEDAR, BAHAWA MEREKA INI MENGALAMI ‘MENTAL STRESS’  DAN PASTINYA  TURUT MENJEJASKAN PRESTASI KERJA MEREKA.

MARILAH KITA SAMA-SAMA BERDOA KEPADA ALLAH SEMOGA  PENGKHIANAT-PENGKHIANAT INI AKAN SEDAR DAN INSAF DARI MENERUSKAN KERJA-KERJA KHIANAT SEPERTI INI.  

PADA MASA YANG SAMA, KEJADIAN SEPERTI INI AKAN MENJADI PENGAJARAN KEPADA YANG LAIN SUPAYA SENTIASA BERWASPADA DAN SENSITIF DENGAN PERSEKITARAN KERJA SERTA RAKAN-RAKAN SEKERJA.  SEKIRANYA SETIAP PIHAK SENSITIF DAN PRIHATIN, MAKA TIDAK AKAN BERLAKU KELEWATAN YANG BEGITU LAMA UNTUK MENGESAN DAN MELAPOR KEHILANGAN SEPERTI INI.

PEGAWAI WAREN DAN PTBK, ANDA MERUPAKAN KUMPULAN PEKERJA YANG BERPENGALAMAN DAN MENJADI TULANG BELAKANG DALAM SETIAP CAWANGAN ATAU SEKSYEN. KALAU ANDA SEMUA PRIHATIN, ANDA BOLEH MELIHAT DAN MEMAHAMI BAGAIMANA PEGAWAI-PEGAWAI ANDA SENTIASA SIBUK DENGAN PELBAGAI MESYUARAT DAN TUGAS-TUGAS YANG TIDAK MENENTU MASA, KHUSUSNYA SEJAK MUTAKHIR INI. MEREKA KEKURANGAN MASA UNTUK MEMBERI TUMPUAN KEPADA KERJA-KERJA DI PEJABAT, MAKA ANDA SEMUA MERUPAKAN ORANG HARAPAN UNTUK MENGAWAL ANGGOTA BAWAHAN DAN MENENTUKAN SETIAP TUGAS SENTIASA DILAKSANAKAN SERTA MEMBERIKAN MAKLUMAT YANG CEPAT DAN TEPAT KEPADA PEGAWAI ATASAN ANDA.

SETERUSNYA, SAYA INGIN MENYENTUH SEDIKIT BERKAITAN DENGAN DISIPLIN DAN PERILAKU. DISIPLIN BUKAN SAHAJA MELIBATKAN TATATERTIB KETENTERAAN SEPERTI PERILAKU DAN CARA PEMAKAIAN YANG BETUL, IA MELIBATKAN SIKAP DAN GELAGAT KITA YANG SENTIASA DIPANDANG OLEH ORANG LAIN.  SALAH SATU GELAGAT YANG TIDAK HARUS DIAMALKAN IALAH MEROKOK SECARA YANG TIDAK BERETIKA.  SAYA AKUR BAHAWA HAK MEROKOK ADALAH HAK INDIVIDU DAN SAYA TIDAK AKAN MENYEBUT TENTANG HUKUM HAKAM BERKAITAN DENGANNYA. TETAPI ANDA YANG MEROKOK HARUS MENGHORMATI ORANG LAIN. JANGANLAH MEROKOK DIMEJA MAKAN KALAU KITA TAHU ADA SAHABAT KITA YG SEDANG MAKAN DI HADAPAN KITA.  LAGI SATU, JANGANLAH MEROKOK SAMBIL BERJALAN DI DALAM KAWASAN PEJABAT.  (SAYA PERNAH BERTEMBUNG DGN SEORANG PW, BERJALAN DARI TEMPAT PARKING MOTORSIKAL KE TANGGA PEJABAT (4 TKT), TGN KIRI JINJING BEG, TGN KANAN KEPIT ROKOK DI JARI. BILA JUMPA PEGAWAI JADI GELABAH, SERBA SALAH, NAK BAGI TABIK HORMAT TAK BOLEH.  TAK BOLEH KE HABISKAN ROKOK DULU BARU JALAN, ATAU TAK SABAR KE NAK SAMPAI DALAM PEJABAT ATAU TANDAS UNTUK MENGHIDUPKAN MEROKOK). ARAHAN ATAU PEKELILING KERAJAAN YANG MELARANG MEROKOK DI DALAM BANGUNAN PEJABAT KERAJAAN DAN TEMPAT AWAM SEMEMANGNYA ADA, TAPI TIDAK DILAKSANAKAN.  OLEH ITU, PANDAI-PANDAILAH MEMBAWA DIRI SEBELUM ARAHAN BERKENAAN DIKUATKUASAKAN.

SAYA FAHAM, SDR-SDRI SEMUA AMAT TERTEKAN DENGAN TUGAS HARIAN YANG BANYAK DAN ’DUDUK’ DI PEJABAT. OLEH ITU IZINKAN SAYA MENGAMBIL SEDIKIT MASA SDR-SDRI UNTUK ’BERDIRI’ LAMA SEDIKIT PADA PAGI INI.

PERKARA SETERUSNYA YANG SAYA INGIN SENTUH IALAH ’BODY MASS INDEX’ (BMI).  OBESITI (KEGEMUKAN) ADALAH SATU LAGI TREND NEGATIF DALAM PERKHIDMATAN ATM KITA. APA YANG MEMBIMBANGKAN IALAH MASALAH OBESITI INI MELIBATKAN PEGAWAI-PEGAWAI YANG MASIH MUDA (KAPT KE BAWAH) DAN JUGA LLP BERPANGKAT SJN KE BAWAH. KITA FAHAM, GEMUK TIDAK SEMESTINYA TIDAK SIHAT DAN TIDAK GEMUK ITU SEMESTINYA SIHAT. TAPI, SAYA KHUATIR, MASA DEPAN ANDA YANG MELEBIHI TAHAP BMI YANG DIBENARKAN INI AKAN TERJEJAS  KERANA SALAH SATU SYARAT YANG DITETAPKAN UNTUK KENAIKAN PANGKAT ATAU MENGHADIRI KURSUS HENDAKLAH MEMPUNYAI BMI KURANG DARI 27. SETIAP INDIVIDU HENDAKLAH SENTIASA PEKA DENGAN PENJAGAAN TUBUH BADAN SENDIRI. 
JANGANLAN MENUNGGU DAH 26.9 BARU NAK BUAT LANGKAH PENCEGAHAN.  OLEH ITU, SAYA SELAKU PEGAWAI MEMERINTAH TIDAK AKAN MENYOKONG MANA-MANA PERMOHONAN MENYAMBUNG PERKHIDMATAN, PANGKAT TETAP ATAU MENGHADIRI KURSUS JIKA MEMPUNYAI BMI MELEBIHI HAD YANG DISYARATKAN. KECUALI MENGHADIRI KURSUS MENGURUSKAN BADAN.

AKHIR SEKALI, UNTUK UCAPAN SAYA PAGI INI IALAH BERKENAAN DENGAN CUTI HARIRAYA.  KITA AKAN MERAYAKAN HARI RAYA AIDIL FITRI DALAM TEMPOH 2 MINGGU DARI HARI INI. TAHUN INI KEBETULAN HARI RAYA DIJANGKA JATUH DI PERTENGAHAN MINGGU. JIKA CUTI UMUM HARI RAYA JATUH PADA 1HB DAN 2HB SEP (HARI RABU & KHAMIS), PANGLIMA TELAH MELULUSKAN SUPAYA 30HB SEP (SELASA) DAN 3HB OKT (JUMAAT) SEBAGAI ‘SKELETON MANNING’. SELAIN DARI ITU, SETIAP CAWANGAN HENDAKLAH MERANCANG HARI PERCUTIAN DENGAN LEBIH AWAL DAN TERTAKLUK KEPADA KEBIJAKSANAAN PS1 ATAU KETUA CAWANGAN UNTUK MENGATUR PERCUTIAN ANGGOTA DI BAWAH KAWALAN.

PADA 30 OGOS YANG LEPAS, SEMASA PEMBENTANGAN BAJET 2009, KERAJAAN TELAH MENGUMUMKAN PEMBERIAN BONUS SATU BULAN GAJI UNTUK SEMUA KAKITANGAN KERAJAAN DAN SEPARUH DARINYA AKAN DIBAYAR PADA BULAN INI. SAYA JUGA MENGUCAPKAN TAHNIAH KEPADA WARGA KEJURUTERAAN JUGA BAKAL MENERIMA ’DURIAN RUNTUH’ SETELAH KERAJAAN BERSETUJU MELULUSKAN KADAR BARU BAYARAN INSENTIF YANG AGAK LUMAYAN BERKUATKUASA PADA 01 JAN 2008 DAN JUGA DIBAYAR PADA BULAN INI ATAU PUN BULAN HADAPAN.  BERSYUKURLAH DI ATAS SEGALA REZEKI DAN DAN NIKMAT YANG DITERIMA DAN GUNAKANLAH IA DENGAN SECARA BERHEMAH.  JIKA KITA TIDAK BIJAKSANA MENGENDALIKANNYA, KITA MUNGKIN TERJEBAK DENGAN KES-KES PENIPUAN DANAKAN MENGUNDANG MASALAH YANG LAIN. NAMANYA PUN DURIAN, MEMANG LAZAT DIMAKAN, TAPI INGATLAH, DURIAN ITU BERDURI, KALAU DITIMPA SEBIJI DURIAN PUN BOLEH CEDERA, BAYANGKANLAH KALAU KITA DITIMPA ’DURIAN RUNTUH’.

AKHIR KATA, SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN INI UNTUK MENGINGATKAN DIRI SAYA SENDIRI DAN SDR-SDRI SEMUA, MARILAH KITA SAMA-SAMA MENGINSAFI DIRI, MENYUSUN TEKAD UNTUK TERUS BERUSAHA MEMPERTINGKATKAN PRESTASI PERKHIDMATAN KITA, PADA MASA YANG SAMA MENJAGA DAN MENGAWAL DISIPLIN, MENJAGA KESELAMATAN DIRI DAN SENTIASA PEKA DENGAN PERSEKITARAN SAMA ADA DI DALAM ATAU DI LUAR TEMPAT PEKERJAAN KITA. MUDAH-MUDAHAN DIRI KITA, ORGANISASI KITA AKAN TERUS MAJU KE HADAPAN DENGAN MEMBAWA BERSAMA IMEJ YANG POSITIF, BERKUALITI DAN DIHORMATI.

DAN SAYA JUGA MEMOHON SUPAYA SETIAP PERINGKAT PEGAWAI DAN ANGGOTA DAN JUGA PEKERJA AWAM DI MLU INI UNTUK MEMBERIKAN KERJASAMA DAN SOKONGAN KEPADA SAYA SEPANJANG TEMPOH SAYA DIBERI AMANAH MENYANDANG JAWATAN INI.

SEKIAN, WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH, WASSALAMU ALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.


Sebagai CO, aku juga diberi mandat untuk menyempurnakan pemakaian pangkat untuk semua anggota LLP.  Untuk pegawai berpangkat Lt Kol dan ke bawah, pemakaian pangkat akan disempurnakan oleh Panglima.

 
 
 
 
 
 


Majlis - Perbarisan Serah menyerah Tugas Pegawai Waren Markas dari PW 2 (U) Zulkifli kepada PW1 (U) Azmi.


 
 
 
 

Semasa aku menjawat CO, hasratku untuk mewujudkan Kelab Bintara MLU telah menjadi kenyataan, dan aktiviti pertama mereka ialah menganjurkan Majlis Makan Malam Beradat.


MESSNITE KELAB BINTARA MLU



 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 




ada manisnya ada pahitnya.....

aku insan biasa, dalam melaksanakan tugasku sebagai CO, aku juga tidak lari dari membuat kesilapan- sama ada kesilapan dalam membuat keputusan atau kesilapan peribadi  dan kesilapan itu mungkin menyebabkan ada individu yang tidak berpuas hati atau mungkin berdendam dengan diriku ini.

Allah Maha Mengetahui, memberikan jalan kepada aku untuk menziarahi rumahnya di penghujung perkhidmatanku sebagai CO di MLU. Aku berpeluang menginsafi diri dan memohon agar aku diberikan perlindungan dari terjerumus ke lubang kebinasaan.  Aku juga bersyukur kerana Allah telah cepat menyedarkan aku dari khayalan sebelum terlajak lebih jauh. Allahu Akbar.

buat bekas anak-anak buah aku di MLU semasa aku menjadi CO di MLU, jika ada sikap atau pelakuan diriku menyakiti atau tidak sepatutnya aku lakukan, aku hulurkan 10 jari memohon ampun dan maaf, zahir dan batin.

Pusingan Kedua

Setelah bertugas di MTU-BPS (Pengurusan Strategik) selama setahun (2 Jan 11 - 9 Feb 12) aku diarahkan untuk menduduki semula jawatan sebagai KSK di MLU. Kenapa ada pusingan kedua. Mesti ada ceritanya. 'Biarlah Rahsia' kata Dato Siti Nurhaliza.

Seperti menjadi adat, bila menyandang jawatan KSK akan dipakejkan dengan jawatan Pegawai Memerintah. Maka bermulalah era pusingan kedua bagiku melaksanakan tugas sebagai Pegawai Memerintah MLU yang mencabar dan dipenuhi dengan kesibukan.

 
menyampaikan check kepada anggota Markas yang menerima pampasan dari Koperasi Tentera dan LTAT

 
 
 


lawatan kerja ke MATRA 3, PU Butterworth


 
 
 Lawatan Kerja ke MATRA 4, PU Kuantan

 
Mencipta sejarah
Ketiga-tiga 'Top Three' Management Team MLU (Panglima, KSS dan KSK) adalah dari satu intake Pegawai Kadet

Diantara peristiwa penyerahan tugas yang dapat dirakamkan (15 Ogos 2014)







 












Tugasku sebagai Pegawai Memerintah MLU berakhir pada 15 Ogos 2014 apabila aku ditukarkan ke Markas Tentera Udara (kuat kuasa 14 Jul 2014) untuk menjawat jawatan sebagai Pengarah Materiel. Dikira dari tarikh 14 Ogos 2018 - 31 Dis 2010  dan dari 08 Feb 2012 hingga 15 Ogos 2014, jumlah keseluruhan tempoh aku melaksanakan tugas sebagai Pegawai Memerintah ialah [(2 tahun 4 bulan 16 hari) + (2 thn 6 bln 1 hari)] = 4 tahun 10 bulan 17 hari) dan keseluruhan tempoh bertugas di MLU (merangkumi tugas sebagai PS1 Pembaikan (2 Apr 07 - 14 Jul 08), Pemangku KSK (14 Jul 08 - 31 Dis 10) dan KSK (8 Feb 12 - 15 Ogos 14) ialah  6 tahun 1 bulan 29 hari).

SELAMAT TINGGAL MLU

Semoga Allah memberkati tugasku selama tempoh itu.

Aku juga memohon ampun dan maaf kepada seluruh warga MLU yang pernah bertugas di bawah perintah dan kawalanku sekiranya terdapat apa jua tindak tandukku yang menyalahi peraturan hukum hakam agama, peraturan dan undang perkhidmatan atau sikap sebagai manusia biasa.

Sebagai manusia biasa suda pastinya aku memiliki banyak kelemahan yang menyebabkan aku terlajak laku yang tidak menyenangkan sebahagian manusia yang lain. Selain dari kelemahan diri dan sikap peribadi, alhamdulillah apa jua tindak tandukku yang berkaitan dengan urusan rasmi seperti temuduga, sokongan kenaikan pangkat, anugerah khidmat cemerlang, hukuman dalam perbicaraan, temuduga perkahwinan dan perceraian; aku telah sedaya upaya berlaku adil dan saksama.






No comments:

Post a Comment