SPK KEM SEGENTING 1980

SPK KEM SEGENTING 1980

Sunday, August 4, 2013

TJP37044 BELASUNGKAWA PERWIRA S37


.
BELA
SUNGKAWA

  BUAT RAKAN SEPERJUANGANKU  



.

.
Kematian dengan kehidupan seorang anggota tentera mempunyai pertalian yang rapat. Dalam peperangan peranan seorang anggota tentera berkemungkinan untuk mati dibunuh musuh atau membunuh musuh.

Dalam keadaan aman, seorang anggota tentera juga berdepan dengan kematian sama ada semasa penyakit atau perkara lain semasa menjalani latihan ketenteraan, terlibat dengan kemalangan (darat/laut/udara) semasa latihan atau menjalankan tugas atau kematian biasa seperti kemalangan jalanraya, masalah kesihatan dan sebagainya.

Apa pun, pegangan seorang yang beragama islam ialah; tarikh kematian kita hanya Allah swt sahaja yang mengetahui. Allah telah menetapkan saat kematian seseorang sebelum ia dilahirkan. Tiada siapa pun yang hidup ini tahu akan tarikh kematiannya. Malah Malaikatul Maut (Izrail) sendiripun tidak tahu tarikh kematian orang yang bakal dicabut nyawanya. Ia hanya menjalankan perintah Allah apabila tiba masanya.

Dalam tempoh 36 tahun selepas terpisah dari latihan Pegawai Kedet di SPK Port Dickson, seramai 25 skot TJP37 yang diketahui telah meninggal dunia (setakat yang aku ketahui) atas pelbagai sebab. Dari jumlah tersebut:
  • Dua (2) meninggal dunia sebelum sempat menjalani latihan kedet:
    • PK Shaharudin bin Kasim -1980
    • PK Chin - 1980
  • Tiga (3) tidak ditauliahkan dan meninggal dunia selepas keluar dari SPK:
    • PK (U) Mohd Salleh bin Abd Wahab (TUAH) -
    • PK (U) Sabri bin Shamsudin (TUAH) -
    • PK Bahari bin Yahya (KASTURI) - 2006
  • Sebelas (11) telah meninggal dunia ketika masih dalam perkhidmatan.
    • Lt M Bala Chandra a/l Rengasamy (TUAH) - RRD - 1981
    • Lt M Mohd Zamanhuri bin Alang Ahmad (TUAH) - RAMD - 1982
    • Lt M (U) Badrul Hisham bin Abdullah (KASTURI) - TUDM - 1983
    • Lt M (U) Haldin bin Sudin (JEBAT) - TUDM - 1983
    • Lt (U) Hisham bin Ahmad (KASTURI) - TUDM - 1987
    • Kapt Abd Halim bin Sudin (KASTURI) - RAMD ?
    • Kapt Isha bin Manap (KASTURI) - RSD ?
    • Mej Kamarudin bin Ibrahim (JEBAT) - TUDM - 1994
    • Mej Mohd Khairi bin Othman (JEBAT) - RAMD - 1996
    • Mej Zainudin bin Abd Ghani (TUAH) - RGKM - 2009
    • Kol Ajhman bin Hj Bakor (TUAH) - KAD - 2013
  • Sembilanh (9) telah meninggal dunia selepas bersara atau menamatkan perkhidmatan ATM.
    • Kapt Hussein bin Mohd Tahir (KASTURI) - RAD
    • Kapt (B) Idrus bin Musa (TUAH) - RGK - 2007
    • Kapt (B) Zainal Abidin bin Ahmad (TUAH) - KJLJD - 2009
    • Kapt (B) Kamar bin Manja (JEBAT) - KPD - 2012
    • Kapt (B) Abu Hanipah bin Abd Rahman (TUAH) - RRD - 2012
    • Kapt (B) Jabar bin Ahmad (TUAH) - KPD - 2013
    • Kept (Maritim) Abdul Rashid bin Suhaimee (JEBAT) - TUDM - 2014
    • Kapt (B) Zuraimi bin Mohamad (TUAH) - 2015
    • Kapt (B) Mazlan bin Shamsudin (TUAH) - 2016
Semoga kematian perwira-perwira negara dari angkatan S37 sentiasa di dalam ingatan kita semua bahawa mereka semua pernah sama-sama menongkah laluan sukar di SPK Port Dickson. Biar pun mereka tidak gugur di medan tempur, mereka adalah Pahlawan Negara. Sumbangan mereka terhadap nusa dan bangsa tetap terukir sebagai perwira ATM.

Kami berdoa semoga Allah melimpahi rahmat pengampunannya kepada mereka yang beriman dan menghimpunkan ruh-ruh mereka di kalangan umat Nabi Muhammad (saw) yang beriman dan beramal soleh.


al fatihah
  BUATMU WAHAI PAHLAWAN   SEPERJUANGAN 

1.  Almarhum PK Shaharudin bin Kassim

Sebaik sahaja selesai mengangkat sumpah setia sebagai seorang anggota tentera  di Dewan Kem Segenting pada 5 April 1980, semua Pegawai Kedet (PK) telah dibawa untuk menjalankan program orientasi untuk mengenalkan kawasan di sekitar Kem Segenting dan Kem Sebatang Karah. Seramai lebih 10 PK telah mengalami kecederaan yang serius, sebahagiannya 'koma'. Skot Shaharudin tidak sempat menjalani latihan pegawai kedet bersama kami semua kerana beliau tidak dapat diselamatkan dan telah disahkan meninggal dunia . Dimaklumkan juga, setelah meninggal dunia beliau telah mendapat tawaran untuk melanjutkan penjagian di peringkat ijazah di UKM, Bangi. Mendiang belum sempat menerima nombor perkhidmatan.

Al Fatihah untuk almarhum Skot Shaharudin dan takziah untuk keluarga almarhumSemoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.

 

2.  Mendiang PK Chin......

Skot Chin (aku terlupa nama penuhnya) seperti juga Skot Shaharudin telah meninggal dunia akibat kecederaan teruk semasa hari pertama menjalani orientasi selepas mengangkat sumpah setia ATM pada 5 April 1980. Semasa melapor diri ke SPK pada 2 April 1980, mendiang Chin telah ditempatkan satu berek dengan saya di B Komp Bn Jebat. Mendiang belum sempat menerima nombor perkhidmatan.

Takziah kepada keluarga Skot Chin. 

Ketika berlaku tragedi yang menyebabkan kematian dua skot ini, semua Pegawai Kedet masih dalam satu kumpulan TJP 37- belum dibahagikan kepada BN TUAH, BN JEBAT dan BN KASTURI
.


 

3.  Mendiang Leftenan Muda Bala Chandra a/l Rengasamy (3001444) - Renjer

Mendiang skot Bala Chandra berasal dari Tampin, NS dan telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Renjer mulai 24 Jan 1981. Mendiang terus melaporkn diri ke Sekolah Tempur Pegawai Muda (STPM), Kota Belud dua hari selepas ditauliahkan.

Beliau meninggal dunia semasa menjalani kursus Muslihat Asas Ketua Pelatun (MAKP) di Sekolah Tempur Pegawai Muda (STPM), Kem Kota Belud, Sabah pada tahun 1981 akibat kecederaan. Mengikut kata kawan seangkatan mendiang mengalami kecederaan setelah terkena bisa pokok rengas ketika menjalani latihan dalam hutan. Ini bermakna mendiang belum sempat melapor diri ke unit pertamanya setelah ditauliahkan.

"I commissioned into I Ranger together with the late Bala. Both of us were from the same hometown of Tampin. He died in Kota Belud of Stevens- Johnson Syndrome, a rare blood disorder. I was also one of the pall bearer for his funeral." skot Mohd Nasir Abdullah.

Semasa di SPK, mendiang adalah dalam BN TUAH. Takziah kepada keluarga Skot Bala Chandra.


mendiang Bala Chandra a/l Rengasamy

4.  Almarhum Leftenan Muda Ahmad Zamanhuri bin Alang Ahmad (3001509) - Askar Melayu

Skot Ahmad Damanhuri telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) mulai 24 Jan 1980. Mengikut maklumat skot-skot yang lain, almarhum ditempatkan di 26 RAMD, Kem Gua Permai, Ipoh (sebuah Batalion yang baru ditubuhkan). Menurut berita dari kawan-kawan, beliau meninggal dunia semasa melakukan latihan jalan lasak di unitnya dalam tahun 1982.  

Semasa di SPK allahyarham adalah seorang yang baik budi bahasanya dan agak karib dengan aku kerana capoi allahyarham bersebelahan dengan capoi saya di Kompeni B, BN KASTURI

Al Fatihah untuk almarhum Skot Ahmad Zamanhuri dan takziah untuk keluarga almarhumSemoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.


almarhum Lt M Ahmad Zamanhuri bin Hj Alang Ahmad

almarhum Zamanhuri (no 2 dari kanan) di dalam Kapal MV Sang Fajar semasa belayar dari Pelabuhan Klang ke Kota Kinabalu untuk menjalani latihan Kursus MAKP di STPM, Kem Paradise, Kota Belud sebaik sahaja ditauliahkan pada bulan Jan 1981

5.  Almarhum Leftenen Muda (Udara) Haldin bin Sudin (706xxx) - TUDM

Sebelum menyertai latihan Pegawai Kedet di SPK, Skot Haldin merupakan seorang anggota LLP (Juruteknik Airframe) berpangkat Laskar Udara Kanan dalam TUDM. Beliau menyertai latihan sebagai PK (Udara) dan turut menyertai latihan asas penerbangan di TUDM Alor Setar. Setelah gagal dalam latihan penerbangan beliau bertukar ke Cawangan Urusetia dan ditukarkan ke TUDM Kluang membuat tugas sebagai Ajutan. Ketika beliau melapor diri ke TUDM Kluang, aku masih berada di sana menunggu untuk berkursus di ITU Kinrara. 

Beliau telah meninggal dunia dalam tahun 1983 akibat kecederaan parah kemalangan jalanraya di Kluang.  Skot Haldin berasal dari Sarawak semasa di SPK adalah dalam BN JEBAT.  

Al Fatihah untuk almarhum Skot Haldin dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.



Almarhum Lt M (U) Haldin bin Sudin

6.  Almarhum Leftenan (Udara) Hisham bin Ahmad (371232) - TUDM 

Almarhum Skot Hisham bin Ahmad berasal dari Kluang, Johor ditauliahkan pada 24 Jan 1981 ke dalam Cawang Kejuruteraan TUDM. Semasa di SPK skot Hisham adalah sama dengan aku dari BN KASTURI. Setelah mengikuti Kursus Asas Kejuruteraan beliau telah ditukarkan ke TUDM Kuantan di Flait Kawalan Radio, Cawangan KLLU. Kebetulan semasa beliau bertugas di TUDM Kuantan, aku pun berada di pangkalan yang sama (1983-1986). 

Beliau meninggal dunia akibat cedera parah dalam satu kemalangan jalanraya di hadapan pintu masuk Pangkalan Udara Kuantan pada tahun 1986/87. Kejadian ini berlaku setelah aku bertukar keluar pada bulan Jun 1986. Semasa kemalangan tersebut berlaku, saya telah pun berpindah kerana melanjutkan pengajian ke ITM Shah Alam. 

Al Fatihah untuk almarhum Skot Hisham- semoga Allah melimpahi keampunan ke atasnya dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum Hisham dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.


almarhum Lt (U) Hisham bin Ahmad
AKU BERSAMA almarhum skot Hisham (dua dari kiri) dalam satu majlis jamuan di SPK 1980

7.  Almarhum  Leftenan Muda (Udara) Badrul Hisham bin Abdullah (371265) - TUDM

Sebelum memasuki SPK Skot Badrul Hisham merupakan bekas pelajar Maktab Tentera Diraja (RMC) dan ditauliahkan pada 24 Jan 1981 ke dalam Cawang Kejuruteraan TUDM. Semasa latihan di SPK allahyarham dalam BN KASTURI. Setelah ditauliahkan beliau telah terpilih untuk melanjutkan pengajian ke UTM Jalan Gurney untuk mengikuti Kursus Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautikal). 

Ketika di UTM beliau dan sekumpulan pelajar telah mengikuti satu latihan perkhemahan di pantai Blue Lagoon, P.Dickson pada tahun 1983. Dalam salah satu aktiviti air, bot yang dinaiki Skot Badrul Hisham telah terbalik dan tenggelam, beliau gagal diselamatkan dan meninggal dunia bersama seorang lagi pegawai TUDM/pensyarah UTM (Kapt Amir). Seorang lagi skot 37 yang turut terlibat dalam kemalangan laut tersebut ialah Lt M (U) Mohd Asri bin Ismail. Namun dengan izin Allah beliau telah dapat diselamatkan dan masih berkhidmat sehingga sekarang.

Al Fatihah untuk almarhum Skot Badrul Hisham dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.


almarhum Lt M (U) Badrul Hisham Abdullah

8.   Almarhum bekas Pegawai Kedet (Udara) Saberi bin Shamsudin (371277)


Semasa latihan di SPK Almarhum skot Sabri adalah dari BN TUAH dan merupakan seorang pegawai kedet yang aktif dan amat disayangi oleh CO Bn Tuah (Mej Muhammad Ibrahim) dan dilantik menjadi SUO Bn Tuah. 




Allahyarham tidak ditauliahkan kerana telah diberhentikan dari latihan Pegawai Kedet di pertengahan latihan atas sebab tatatertib. Yang lebih menyayat hati ialah cara beliau meninggal dunia juga secara amat menyedihkan.  Atas alasan menjaga nama baik ahli keluarga, aku tidak nyatakan di sini.

Semasa menghadiri majlis perkahwinan anak skot Kol Jumali Salamat TUDM di PU SUBANG pada 9 Mac 13, aku mendapat maklumat terbaru (peristiwa lama) dari skot Kapt Hashim Hamzah (B) bahawa salah seorang skot TJP37 iaitu bekas PK(U) Sabri  juga telah meninggal dunia pada tahun (lebih kurang) 1988 atau 1989. 

Al Fatihah untuk almarhum Skot Sabri dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah sw

9.  Almarhum Kapt Hussein bin Mohd Tahir (3001463) - Artileri


Almarhum Skot Hussein bin Mohd tahir telah ditauliahkan ke Rejimen Artileri (dulu Rejimen Meriam) pada 24 Jan 1981. Semasa di SPK, Skot Hussein adalah dari BN KASTURI dan satu Kompeni (B) dengan aku. Kebetulan semasa di SPK, almarhum pun agak rapat dengan aku.

Beliau meninggal dunia kerana mengidap penyakit demam panas selepas menamatkan perhidmatan di penghujung tahun 1980an.  

Al Fatihah untuk almarhum Skot Hussein dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah sw


almarhum Kapt Hussein bin Mohd Tahir

AKU BERSAMA almarhum Hussein Mohd Tahir (SPK 1980)

10.  Almarhum Kapten Isha bin Manap (3001470) - Semboyan

Skot Isha tidak menamatkan latihan bersama TJP37 kerana beliau telah terpilih mengikuti latihan kedet di Officer Cadet School, Portsea, Australia. Semasa di SPK (TJP37) beliau adalah dari BN KASTURI

Saya hanya mendapat tahu tentang kematian Skot Isha melalui Skot Kapt (B) Ahmad Fuad (KPD) semasa perbualan telefon pada 21 Jul 2012.  Skot Isha dikatakan tidak dapat menamatkan latihan di Portsea dan kemudiannya ditauliahkan bersama TJP 42 (1982). 

Al Fatihah untuk almarhum Skot Isha dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.



11. Almarhum Kapten Abd Halim bin Sudin (3001608) - Askar Melayu

Skot Abd Halim telah ditauliahkan ke Rejimen Askar Melayu DiRaja pada 24 Jan 1981. Maklumat mengenai kematian Skot Sudin saya perolehi dari catatan satu emel yang dihantar oleh skot Roslan Md Kadak dalam tjp37 yahoogroup.  

Skot Abdul Halim juga telah meninggal dunia semasa berpangkat Kapten. Maklumat ini disahkan oleh Skot Lt Kol Mohd Ariffin Saimon (RAMD). 

Almarhum skot Halim adalah bekas putera Maktab Tentera Diraja (RMC) sebelum menyertai latihan Pegawai Kedet di SPK. Semasa di SPK skot Halim adalah satu Kompeni dengan aku dalam BN KASTURI

Al Fatihah untuk almarhum Skot Halim dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah sw


almarhum Kapt Abd Halim bin Sudin

Pemergian rakan seperjuangan untuk 10-15 tahun pertama kurang memberikan impak kepada emosiku. Pada diriku.  Yang lain aku kurang pasti.  Ini kerana selepas keluar dari SPK, hubungan kami masih belum rapat dan tidak pernah terfikir pun untuk mencari skot-skot bagi merapatkan hubungan.  Selain dari Skot Bala dan Skot Isha (Bala di Bn Tuah Kem Sebatang Karah dan Isha terpilih ke OCS Portsea di pertengahan latihan), yang lainnya seperti Skot Halim, Skot Zamanhuri, Skot Hussein, Skot Badrul Hisham dan Skot Hisham semuanya rakan satu Bn Kasturi denganku, duduk dalam satu barisan berek. Namun berita kematian yang diterima sekadar satu berita, cukup sekadar menyambut dengan 'inna lillah wainna ilaihi rojiun'. Ia hanya tinggal satu sejarah.  Pada masa itu, masing-masing kami semua bagaikan 'enau dalam belukar' hanya ingin 'melepaskan pucuk masing-masing' demi untuk survival dalam perkhidmatan. Mereka hanya sekadar diingati sebagai 'skot kami telah meninggal dunia' kami yang hidup, masih jauh lagi perjalanan untuk dicapai.

12.   Almarhum Mejar Kamarudin bin Ibrahim TUDM (371235) 

Skot Kamarudin bersama-sama aku meninggalkan SPK untuk mengikuti latihan penerbangan di Pulatibang I, Alor Setar. Kami terpisah apabila aku dan 5 PK(U) yang lain telah terpilih untuk menjalani latihan asas penerbangan helikopter di TUDM KLuang. Beliau ditauliahkan pada tahun 1982 setelah menamatkan latihan dan menerima sayap penerbangan. Beliau pernah bertugas sebagai juruterbang pesawat Cessna, Caribou dan C130 sebelum bertukar semula ke TUDM Alor Setar untuk menjadi jurulatih penerbangan. 

Pada 21 Sep 1994 pesawat Bulldog 100 yang beliau naiki bersama seorang pelatih penerbang dari Tentera Darat (Lt M Affendi bin Abd Rahman) telah jatuh terhempas di Kg Guar Kepayang, Pendang Kedah. Beliau bersama pelatihnya meninggal dunia di tempat kejadian. Semasa di SPK, Skot Kamarudin adalah dari BN JEBAT.  

Al Fatihah untuk almarhum Skot Kamarudin dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah sw

 
almarhum Mej Kamarudin bin Ibrahim TUDM

13.   Almarhum bekas Pegawai Kedet (Udara) Mohd Salleh bin Abd Wahab (371278)

Skot Salleh tidak ditauliahkan bersama-sama skot yang lain. Kurang pasti kenapa. Setelah meninggalkan SPK beliau bekerja dengan MAS Kargo. Menurut skot Hj Abd Wahid bin Yusoff, skot Salleh telah meninggal dunia lebih kurang tahun 1996 akibat sakit demam panas.

Al Fatihah untuk almarhum Skot Mohd Salleh dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah sw



14.  Almarhum Mejar Mohd Khairi bin Othman (3001794) - Askar Melayu

Skot Khairi telah ditauliahkan ke Rejimen Askar Melayu DiRaja pada 24 Jan 1981. Beliau merupakan bekas penuntut Sekolah Ketukangan Perantis AT (AFATS), Port Dickson. Semasa mdi SPK beliau dalam BN TUAH

Aku juga tidak dapat mengingati rupa wajah dan diri almarhum kerana tidak pernah bersua lagi sejak meninggalkan SPK di awal Januari 1981. Aku mendapat maklumat melalui rakan-rakan skot sekitar tahun 2012 bahawa skot Khairi meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya semasa bertugas di Sempadi, Sarawak pada tahun xxxx (akhir 90an atau awal 2000an). Kenderaan pacuan empat roda yang dinaikinya telah terbabas ke dalam gaung. 

Al Fatihah untuk almarhum Skot Mohd Khairi dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah sw

almarhum Mej Mohd Khairi bin Othman

15.  Almarhum bekas Pegawai Kedet Bahari bin Yahya (3001442)

Almarhum Skot Bahari bin Yahya tidak ditauliahkan bersama-sama skot yang lain. Almarhum meninggalkan latihan Pegawai Kedet setelah beberapa bulan di SPK. Semasa menjalani latihan Pegawai Kedet di SPK Port Dickson beliau sama dengan aku di BN KASTURI. Aku tidak dapat mengingati punca beliau menamatkan latihan di SPK.Setelah  meninggalkan SPK beliau berkerja di beberapa buah syarikat pengawal keselamatan di Kuala Lumpur dan akhirnya bertugas sebagai seorang Penyelia di sebuah syarikat pengawal keselamatan dan menetap di Taman Daya, Johor Bahru.

Aku sendiri sukar untuk mengingati rupa wajah almarhum Bahari. Maklumat tentang kematian skot Bahari hanya diketahui pada bulan Jun 2014 (setelah 8 hampir tahun kematiannya) melalui perbualan di facebook dengan skot Lt Kol Miswan Bujang (B). Setelah aku melayari internet pada 20 Jun 2014, aku mendapat berita lanjut mengenai perihal kematian skot Bahari melalui arkib Utusan Malaysia.

Mengikut berita tersebut, pada lebih kurang jam 7.30 malam, 2 Nov 2006, skot Bahari yang sedang menaiki motorsikal bersama isterinya Puan Julaiha binti Bujang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya di Singapura. Semasa melalui jalan di hadapan Pasar Borong Pandan, Jalan Teberau sebuah motorsikal yang dinaiki oleh dua pemuda telah menghempetnya ke tepi jalan dan cuba meragut beg tangan yang dipegang oleh isterinya. Setelah gagal meragut beg tangan, peragut tersebut gagal lalu menendang motorsikal beliau. Akibatnya tendangan tersebut beliau gagal mengawal motorsikal dan telah terjatuh dari motorsikalnya dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat luka parah di bahagian kepala. Isterinya turut mengalami kecederaan dan di bawa untuk mendapat rawatan di Hospital Tun Aminah JB dan menerima 15 jahitan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu (Puan Julaiha) dan empat orang anak, Mohd Farhan (19), Mohd Hamizan (15), Siti nabiha (12) dan Siti Nur Balqis (2).

Amat menyediahkan. Al Fatihah untuk almarhum Skot Bahari dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.

Almarhum Bahari bin Yahya 

Nota: sekiranya ada anak-anak almarhum skot Bahari ada membaca blog ini, sila hubungi saya melalui alamat emel: toharudinrasid@gmail.com ATAU menulis komen di bawah.

16.  Almarhum Kapten Zainal Abidin bin Ahmad (Bersara) (3001569) - JLJ

Skot Zainal Abidin telah ditauliahkan ke Kor Jurutera Letrik dan Jentera (KJLJ) pada 24 Jan 1981. Frankly speaking, saya memang tidak dapat mengingati langsung siapa skot Zainal Abidin ini. Semasa di SPK kami kurang rapat kerana beliau adalah dari BN TUAH

Beliau menamatkan perkhidmatan TJP semasa berpangkat Kapten. Beliau meninggal dunia akibat sakit jantung di Seremban pada tahun 2 Mei 2009. Dimaklumkan bahawa keluarga allahyarham bermastautin di Taman Panchor Jaya, Seremban. Al Fatihah untuk almarhum Skot Zainal Abidin dan takziah untuk keluarga almarhum

Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.

.arwah zainal
almarhum Kapt (B) Zainal Abidin bin Ahmad

17.  Allahyarham Mejar Zainudin bin Abd Ghani (3001566) - Gerakhas

Skot Zainudin telah ditauliahkan ke Rejimen Gerak Khas (RGK) pada 24 Jan 1981. Semasa di SPK beliau adalah dalam BN TUAH. Skot Zainudin meninggal dunia (di Hospital Tuanku Ampuan Afzan, Kuantan) akibat sakit jantung semasa mengikuti acara sukan antara Jabatan Kerajaan di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan pada 17 Okt 2009 jam 1845. Jenazah dikebumikan dan Taman Rembau, N.Sembilan. Jawatan allahyarham ketika itu ialah Setiausaha MSATM. 

Aku tidak pernah menemui almarhum sejak beliau ditauliahkan. Bagaimanapun beberapa hari sebelum meninggal dunia aku telah bertemu almarhum di Masjid Khalid alWalid selepas sama-sama mengerjakan solat Subuh. Ketika itu, masing-masing pun teragak-agak untuk memperkenalkan diri, hanya bersalam-salaman. Setelah duduk berbual seketika di tangga masjid, barulah dijelaskan kedudukan masing-masing. Rupanya kami satu intake di SPK. 

Itu adalah pertemuan pertama dan terakhir kami. Al Fatihah untuk almarhum Skot Zainudin dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.

almarhum Mej Zainuddin bin Abdul Ghani

18.  Almarhum Kapten Mohd Idrus bin Hj Musa (Bersara) (3001780) - Gerakhas

Skot Idrus telah ditauliahkan ke Rejimen Gerak Khas (RGK) pada 24 Jan 1981. Almarhum merupakan bekas pelajar AFATS Port Dickson sebelum menyertai latihan Pegawai Kadet. Semasa di SPK beliau adalah dari BN TUAH. Beliau menamatkan perkhidmatan semasa berpangkat Kapten dan menjalankan perniagaan sendiri.  

Beliau ditemui meninggal dunia oleh rakan sekerjanya (Syarikat SRT-EON) pada jam 1925H (dipercayai akibat sakit jantung) dalam bilik penginapan di sebuah hotel setelah didapati sehari suntuk tidak turun ke pejabatnya untuk bekerja (semasa bertugas di Melaka) pada 9 Dis 2010. Beliau dipercayai meninggal dunia sehari sebelum itu. Jenazah almarhum dikebumikan di Kg Geylang Pertang, Simpang Pertang, N.S.  Aku juga gagal untuk mengingati skot Idrus ini. 

Al Fatihah untuk almarhum Skot Idrus dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.


almarhum Kapt (B) Mohd Idrus bin Musa

Kecuali kematian Skot Kamarudin yang agak mengejutkan kerana terbunuh dalam kemalangan pesawat terbang, pemergian yang lain juga tidak menyentap sanubariku.  Bukan tidak insaf dengan berita kematian atau tidak bersedih dengan kehilangan seorang rakan seperjuangan. Skot Kamarudin pun, walau sama-sama dalam TUDM tetapi tidak juga rapat kerana kami terpisah sebaik sahaja memulakan latihan penerbangan dan boleh dikatakan tidak pernah berjumpa sehingga kematiannya.

Untuk Skot Khairi, Skot Zainal Abidin, Skot Zainudin dan Skot Idrus boleh dikatakan aku sudah lupa langsung siapa mereka ini.  Kecuali Skot Zainudin yang aku masih ingat wajahnya dan pernah jumpa sekali sebelum kematiannya, yang lainnya kalau aku berselisih atau duduk semeja pun aku tidak akan mengingati bahawa mereka adalah skot aku.

Kehilangan isteri tercinta

Pada 5 Jun 2011, Lt Kol Salihudin bin Daud telah kehilangan isteri kesayangannya akibat derita penyakit barah.



skot Salihudin bersama almarhumah isterinya

19.  Almarhum Kapten Kamar bin Manja (Bersara)(502404) - Perkhidmatan

Skot Kamar telah ditauliahkan ke Kor Perkhidmatan (KP) pada 24 Jan 1981. Semasa di SPK beliau adalah dari BN JEBAT dan menyandang pangkat JUO. Skot Kamar telah berkhidmat dalam Tentera Darat dalam pangkat Lans Kopral sebelum menyertai latihan Pegawai Kedet di SPK. 

Ironinya, saya hanya dapat berjumpa untuk kali pertama (setelah ditauliahkan pada tahun 1981) dengan Skot Kamar di Majlis Perkahwinan anak Skot Mej Raja Hj Zakaria (B) di Desa Subang Permai pada 8 Julai 2012. Dan itulah pertemuan pertama dan terakhir dengan almarhum. 

Skot Kamar telah meninggal dunia sebelum Subuh 11 Ogos 2012 di IJN Kuala Lumpur setelah hampir dua hari tidak sedarkan diri akibat serangan sakit jantung. Baru sahaja 41 hari lepas kami pertama kali bertemu sejak ditauliahkan.  ALLAHU AKBAR. Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bandar Baru Sg Buluh. 

Al Fatihah untuk almarhum Skot Kamar dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.


almarhum Kapt (B) Kamar bin Manja

pertemuan pertama dan terakhir dengan almarhum Skot Kamar (berdiri kiri sekali) pada 8 Jul 2012

kenangan mengusik jiwa

Pengkebumian almarhum Kamar (gambar oleh skot Wahid @ Hj One).  Turut hadir di hari pengkebumian ialah Skot Jaafar, Skot Raja Zakaria, Skot Radzi, Skot Hj Azman Annuar dan Skot Abd Razak Hussein. Gambar kanan: turut hadir ialah Brig Jen Norhuda Ahmad (bekas jurulatih kami di SPK) yang kebetulan adalah sama intake dengan isteri almarhum, Kapt Zainon (B).

Kematian Skot Kamar benar-benar memberikan impak kepada perasaan dan emosiku. Walaupun seperti kebanyakan skot yang lain, aku hanya sekali bertemu muka dengannya setelah lebih 30 tahun meninggalkan SPK.  Namun ia berlaku setelah aku pulang dari menunaikan Fardhu Haji.  Dia pergi di saat kami skot TJP37 sedang aktif mengumpulkan dan merapatkan semula tali persahabatan dan persaudaraan antara skot.

Menambah sebak hati ini ialah kami baru berjumpa mesra hanya sebulan sebelum kematiannya. Kami baru ajar dia buka akaun facebook dan baru nak mula merapatkan diri. Pada hari Khamis kami membaca mesej dalam fb dari Skot Zakaria bahawa Skot Kamar telah  dimasukkan ke IJN kerana tidak sedarkan diri setelah jatuh di rumahnya. Baru sahaja aku dan Skot Yatim merancang untuk melawatnya pada tengahari Sabtu atau Ahad, tiba bangun pagi hari Sabtu aku menerima sms dari Skot Raja Zakaria menyatakan bahawa Skot Kamar baru sahaja disahkan meninggal dunia.

Maklumat awal, jenazah akan dikebumikan selepas Solat Zohor di Masjid BB Sg Buloh.  Aku dan Skot Yatim mula memaklumkan kepada skot-skot yang dapat dihubungi untuk bertolak dari MINDEF pada jam 1130 agar dapat sampai lebih awal di rumah almarhum.  Namun pada jam 1000, aku menerima panggilan telefon dari Skot Zakaria bahawa jenazah telah hampir sempurna disemadikan. Maka kami terpaksa membatalkan rancangan.


20.  Almarhum Kapten Abu Hanipah bin Abdul Rahman (Bersara)(3001440)- Renjer

Skot Abu Hanipah telah ditauliahkan ke Rejimen Renjer DiRaja pada 24 Jan 1981. Beliau dari BN TUAH. Beliau bersara pada tahun 1994 setelah berkhidmat dalam ATM selama 14 tahun. 

Berita pertama aku terima sejak berpisah pada tahun 1981 ialah satu mesej dalam fb yang disampaikan oleh skot Lt Kol Firdaus Quah pada hari Rabu, 12 Sep 2012 (semasa aku sedang bertugas di Bandung) bahawa skot Abu Hanipah telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban akibat serangan 'stroke' pada 10 Sep 12. Beliau dalam keadaan 'koma' ditempatkan di Wad 7 Katil 30. Skot Abu Hanipah disahkan meninggal dunia pada jam 150130H Sep 2012 dan selamat disemadikan di kampung isterinya di Kampung Baharu, Teluk Panglima Garang, Banting sebelum zohor 15 Sep 2012.  

Pada hari tersebut aku berniat untuk bersama dalam majlis pengkebumian kerana maklumat awal menyatakan jenazah akan dikebumikan selepas waktu Asar. Namun dipertengahan jalan aku menerima telefon dari skot Wahid bahawa pengkebumian telah selesai dan berbeza dengan alamat yang diberikan lebih awal.  Maka aku terpaksa membatalkan rancangan. 

Al Fatihah untuk almarhum Skot Abu Hanipah dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.

Skot Abdul Razak (Pres S37), menziarahi skot Abu Hanipah yang masih tidak sedarkan diri pada 14 Sep 2012 - sehari sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir

almarhum Kapt (B) Abu Hanipah bin Abd Rahman 

Pusara Pahlawan 'Abu Hanipah' -gambar ehsan skot Hj Wahid yang dapat menjejaki kampung dan tanah perkuburan allahyarham


Semasa menerima maklumat dalam fb di Bandung, aku memang pasang niat untuk menziarahi almarhum di Seremban pada petang 15hb Sep 12.  Kerana aku ada jemputan majlis jamuan di Subang dari jam 1100 hingga 1230. 

Pada pagi 15hb aku menerima sms dari skot Abdul Razak (Pres) bahawa skot Abu Hanipah telah disahkan meninggal dunia pada jam 0130 pagi tadi dan akan dikebumikan di kampungnya di Batu 8, Sijangkang, Banting. Aku spontan membuat pelan perjalanan, bertolak dari rumah ke Subang kerana menghadiri jemputan majlis doa selamat di rumah skot MG Dato Kamalruzaman (akan ke Mekah) pada jam 1100. Pada jam 1230 selesai majlis akan terus ke Sijangkang untuk menghadiri majlis pengkebumian skot Abu Hanipah.  Namun, hasrat tidak tercapai, semasa sedang meredah kesesakan jalan untuk masuk ke bandar Klang, aku menerima sms dari skot Hj Wahid yang menyatakan bahawa jenazah almarhum telah selamat dikebumikan.  Aku pun tidak mengambil risiko meneruskan perjalanan, mencari exit keluar balik ke KL.  Skot Hj Wahid dan skot Mohd Azman juga dalam perjalanan ke Sijangkang dan meneruskan perjalanan walaupun pengkebumian telah selesai dan semua telah meninggalkan tanah perkuburan.  Skot Affendi yang berada di Malaysia (beliau menetap di Melbourne) juga pergi menziarahi pusara almarhum setelah lewat petang. 

Sesampai di rumah aku terus membuka facebook dan membaca mesej dari skot Shohemi, bahawa jenazah dikebumikan di Kampong Baharu, Telok Panglima Garang, bukan di Batu 8, Kampung Sijangkang.

"Biras saya. Arwah adalah abang kepada Kak Zubaidah, isteri kpada abang saya Haji Iskandar)" - skot Affendi Yahya.

.


.


Kehilangan isteri tercinta


Pada 24 Sep 2012, Puan Zuraidah bt Mohd Yasin isteri kepada Lt Kol Mohamad Shuairi bin Abdullah TUDM telah meninggal dunia pada jam 0400 di HAT Tuanku Mizan, Setapak akibat dari penyakit yang tidak diketahui. 

Sebelum ini beberapa orang SKOT juga telah kehilangan isteri tercinta:
  • Skot Lt Kol Salihudin bin Daud (RAMD) - 2011
  • Skot Kapt (B) Khairul Anuar Hj Ismail (RRD) - xxx

21.  Almarhum Kapten Jabar bin Ahmad (Bersara)(807642) - Ordnans

Skot Jabar bin Ahmad dari BN TUAH ditauliahkan dalam Kor Ordnans DiRaja.  Almarhum pernah berkhidmat sebagai anggota LLP dalam TLDM sebelum menyertai latihan Pegawai Kedet.  

Aku memang benar-benar lupa rupa wajah almarhum dan tidak pernah bertemu sejak ditauliahkan. Biasalah kaum dari Tuah ni, jarang jumpa.  Satu lagi, setelah dia meninggal, baru aku dapat tahu bahawa almarhum adalah juga abang kepada skot Lt Kol Zulkhurnain bin Ahmad (JLJD). Beliau meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 280135H Mac 2013. 

Al Fatihah untuk almarhum Skot Jabar dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.

....sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai kerjaya beliau setelah menamatkan perkhidmatan
.

almarhum Kapt (B) Jabar bin Ahmad

22.  Almarhum Kolonel Ajhman bin Hj Bakur (3001411) - Armor

Skot Ajhman bin Hj Bakur merupakan Pegawai Rendah Kanan (SUO) BN TUAH ditauliahkan dalam Kor Armor DiRaja.

Kesah mengenai skot Ajhman dinyatakan lebih terperinci di bawah CHAPTER 46 blog ini.

Beliau meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Sabak Bernam pada 081630H Ogos 2013. 

Al Fatihah untuk almarhum Skot Ajhman dan takziah untuk Puan Salasiah dan seluruh ahli keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.

Almarhum Kol Ajhman Hj Bakor

23.  Almarhum Kepten (Maritim) Abdul Rashid bin Suhaimee (371214) - TUDM

Pada 8 Dis 2014, kami kehilangan seorang lagi warga S37 iaitu Kepten (Maritim) Abdul Rashid bi Suhaimee. Skot Abdul Rashid telah dimasukkan ke ICU, Damansara Specialist Centre (DSC) pada 30 Nov 2014 setelah tidak sedarkan diri akibat sakit pendarahan usus. Setelah hampir seminggu menerima rawatan di ICU, skot Rashid telah menghembuskan nafas yang terakhir meninggal alam yang fana' ini. Almarhum Skot Abdul Rashid semasa dalam latihan di SPK adalah dari BN JEBAT. Setelah menamatkan latihan di SPK, almarhum mengikuti latihan asas penerbangan di PULATIBANG 1, TUDM Alor Setar. Setelah gagal menamatkan latihan penerbangan, beliau telah ditauliahkan dalam Tentera Udara DiRaja Malaysia dan dipilih mengikuti latihan asas Navigator di New Zealand. Setelah menerima sayap Navigator, almarhum bertugas di No 4 Skn, No 14 Skn dan No 16 Skn dan beberapa jawatan staf lain.  

Pada tahun 2006 almarhum telah terpilih bersama beberapa pegawai TUDM untuk menjadi pioneer penubuhan APMM  dan dibersarakan dari TUDM dalam pangkat Lt Kol TUDM.

Jawatan terakhir almarhum sebelum meninggal dunia ialah sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan di Cawangan Operasi Udara APMM.  

Al Fatihah untuk almarhum Skot Abdul Rashid dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.


24.  Almarhum Kapten (B) Zuraimi bin Mohammad (3001568)- Armor

Pada 30 Sep 2015, seorang lagi warga S37 telah kembali kerahmatullah. Almarhum Skot Zuraimi bin Mohammad semasa dalam latihan di SPK adalah dari BN TUAH. Setelah menamatkan latihan di SPK, almarhum ditauliahkan ke Kor Kavalri DiRaja.

Setelah bersara dari perkhidmatan dalam tahun 19XX almarhum menyertai bidang perniagaan. Pada tahun 2011 almarhum telah diserang stroke. Kali pertama aku menziarahi (juga kali pertama bertemu sejak ditauliahkan) ialah pada bulan Sep 2012 selepas satu kumpulan S37 menghadiri majlis perkahwinan skot Salihuddin di UKM Bangi. Kami beramai-ramai (lebih kurang 10 kereta) bergerak ke rumah Zuraimi untuk membuat majlis doa selamat dan menyampaikan derma kebajikan.

Kali kedua ialah pada bulan Ramadhan (tahun 2014), saya dan isteri serta skot Razak dan isteri yang mengunjungi skot Zuraimi untuk menyampaikan derma Ramadhan kepada keluarga Zuraimi.

Setelah lebih 3 tahun menderita stroke, pada 30 Sep 2015, skot Zuraimi telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Al Fatihah untuk almarhum Skot Zuraimi dan takziah untuk keluarga almarhum. Semoga ruh almarhum dilimpahi keampunan dan dicucuri rahmat oleh Allah swt.
.


25.  Almarhum Kapten (B) Mazlan bin Shamsudin (3001504)- Armor

Pada 14 November 2016, skot Mazlan bin Shamsudin telah kembali kerahmatullah di Hospital Serdang akibat serangan penyakit jantung dan darah tinggi. Almarhum Skot Mazlan semasa dalam latihan di SPK adalah dari BN TUAH. Setelah menamatkan latihan di SPK, almarhum ditauliahkan ke Kor Kavalri DiRaja.

Isteri almarhum telah meninggal dunia pada tahun 2013 akibat serangan athma. Almarhum meninggalkan empat orang anak, 3 perempuan dan seorang lelaki.

Jenazah almarhum telah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Juasseh (kampung halaman almarhum) pada 15 Nov 16.

  



xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx


MAKLUMAT DARI SKOT LT KOL MISWAN (B), TERDAPAT SATU LAGI WARGA S37 YANG TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH, IAITU  SKOT KAPT CHE HARUN HASHIM (B). NAMUN AKU MEMERLUKAN MAKLUMAT LANJUT MENGENAINYA SEBELUM MEREKODKAN DALAM BLOG INI.



 DAN GILIRAN KITA ADALAH SELEPAS INI 
 MARILAH KITA SAMA-SAMA BERDOA AGAR KETIKA NYAWA KITA  SEMUA  DICABUT OLEH   MALAIKAT IZRAIL DALAM KEADAAN HUSNUL KHOTIMAH 



untuk almarhum rakan-rakan yang beragama islam, marilah kita sama-sama sedekahkan fatihah semoga mereka mendapat keampunan dari Allah Taala dan ruh mereka dapat berehat dengan aman di alam barzah serta bakal dihimpun didalam gulungan orang yang beriman.
AL FATIHAH





SEKIRANYA ADA KALANGAN KELUARGA ALMARHUM/MENDIANG SKOT-SKOT DI ATAS MEMBACA BLOG SAYA INI, DAN MENDAPATI ADA FAKTA YANG SALAH ATAU INGIN MENAMBAH FAKTA, SILA HUBUNGI SAYA MELALUI ALAMAT EMEL YANG TERTERA DI ATAS



.

http://youtu.be/72aZZEc7O0g



.
.
PLEASE FEEL FREE TO VISIT MY ANOTHER BLOG:
coltoras1959.blogspot.com

No comments:

Post a Comment