SPK KEM SEGENTING 1980

SPK KEM SEGENTING 1980

Wednesday, May 8, 2013

TJP37033 SEGENTING DALAM KENANGAN




TERKENANG DI MASA LALU
KEM SEGENTING

Entah macam mana, semasa melayari internet, saya terjumpa dalam YOUTUBE.com,  satu slide show yang diposkan oleh seorang Alumni AFATS berkaitan keadaan Kem Segenting yang menempatkan batalion Jebat dan Kasturi mulai 1980 (TJP37).  Saya mainkan slide show tersebut dan mengambil gambar-gambarnya satu persatu dengan menggunakan handphone. Alhamdulillah, walaupun hasilnya kurang jelas, ia sudah mencukupi untuk saya abdikan dalam blog ini sebagai kenangan hidup yang tak mungkin dilupakan. Saya edit dan download dalam blog saya.

Penempatan SPK berakhir apabila Kompleks SPK baru siap dibina bersebelahan pada penghujung tahun 1982.  Kalau tidak silap TJP45 merupakan intake pertama yang menghuni SPK baru. Berek pejebat dan kediaman Pegawai Kedet (PK) Jebat/Kasturi diambil alih oleh Sekolah Pertukangan Perantis ATM (SPPAT).  SPPAT menghuni Kem Segenting sehingga tahun 1994 apabila ia berpindah ke kompleknya sendiri di Kem Sirusa (juga di Port Dickson).

AFATS ditubuhkan pada tahun 1968 ditempatkan di Kem Sirusa sebelum berpindah ke Kem Segenting pada tahun 1982. Menyebut AFATS, aku juga ada kenangan singkat dengannya. Selepas tamat peperiksaan SRP (1974) aku memohon untuk ke AFATS dan dipanggil untuk temuduga.  Namun aku gagal dalam ujian pemeriksaan perubatan di hari terakhir dan tidak terpilih.  Kegagalan ini tidak membunuh minat aku dalam bidang ketenteraan terus berkobar.  Dan akhirnya aku kembali ke kem tentera apabila terpilih mengikuti latihan PK di Kem Segenting pada tahun 1980.



Sejarah yang tercatit ialah ialah TJP37 (termasuk intake pertama PK Wanita) merupakan pioneer kepada SPK Kem Segenting.  Sebelum TJP37 semua PK menjalani latihan di Kem Sebatang Karah (bersebelahan dengan Kem Segenting).  TJP36 merupakan pioneer SPK yang ditubuhkan pada tahun 1979 bagi menggantikan Pre-OCTU (atau PLPPK) di Kem Sebatang Karah.  Oleh kerana jumlah pengambilan TJP37 terlalu ramai (hampir 300 PK), Kem Sebatang Karah tidak mampu menampung kekuatan tersebut lalu sebahagian besar PK ditempatkan di Kem Segenting. Hanya 1/3 dari PK (Batalion Tuah) dan 22 PK Wanita ditempatkan di Kem Sebatang Karah. Manakala Batalion Jebat dan Kasturi ditempatkan di Kem Segenting.

1933, lahirnya Askar Melayu di Port Dickson


 

rupa pekan Port Dickson pada tahun 1960an

 

Pada 29 Sep 2009, semasa kempen Pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang (yang berlangsung pada 11 Okt 2009), PM DS Najib telah mengisytiharkan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat.  Ini adalah berasaskan sejarah TDM bermula di sini apabila kumpulan pertama Pasukan Askar Melayu Percubaan dilatih di sini pada tahun 1933. Nama bandar Port Dickson diambil sempena nama seorang pegawai British bernama Sir John Frederick Dickson. Nama asalnya ialah Tanjung sebuah kawasan perusahaan membuat arang (charcoal) dari kayu bakau. Ia dimajukan oleh pihak British dengan pembinaan jalanraya dan jalan keretapi dari Sungei Ujong (Seremban).  Nama Tanjung ditukar menjadi Port Dickson pada tahun 1892.


Port Dickson yang mempunyai jaluran pantai perkelahan yang indah berkembang maju dengan pesat khususnya dalam bidang industri pelancongan.  Berpuluh buah hotel dan rumah persinggahan dibina di Port Dickson untuk menampong kehadiran pelancong yang bertumpu khususnya di hujung minggu dan hari-hari cuti umum.

Sehingga hari ini, Port Dickson masih mengekalkan daerah yang paling banyak kem TDM seperti Kem Sirusa, Kem Segenting, Kem Sebatang Karah dan Kem Sunggala. Selain dari pelbagai unit infantri dan bantuan TDM kem-kem ini menempatkan beberapa buah institusi latihan penting dalam TDM seperti PUSASDA, INSPEKA, PLPM, KTD, PULAMOR, IKEM dan  SPPTD.
.
lakaran kasar Kem Segenting tahun 1980


Melihat kepada lakaran peta di atas, saya terkenang kepada Orientasi (Pengenalan kepada SPK) pada hari ketiga atau keempat setelah melapor di SPK. Setelah majlis angkat sumpah, kami Pegawai Kedet (PK) yang berpakaian PD Green (berkasut drill- berladam besi) telah di bawa untuk mengorientasikan diri dengan persekitaran Kem Segenting dan Kem Sebatang Karah.

Di bawa, bukannya naik bas atau truck TETAPI lari, lompat katak, forward roll, side roll dan sebagainya. Orientasi ini dikendalikan oleh Jurulatih Jasmani (PTI) yang diketuai oleh Staff Sarjan Morzerin.


jalan masuk ke Kem Segenting (sekarang)


Bangunan SPK (Bn Kasturi) di hadapannya padang pawai (kawad) pada tahun 1980

PADANG JARAK PADANG TEKUKUR
.
keadaan Kem Segenting selepas ditutup pada tahun 1994, semua bangunan dirobohkan sebelum bangunan baru Kolej Tentera Darat didirikan.


Perbarisan Pentauliahan Pegawai Kedet TJP37 pada 24 Januari 1981


keadaan padang kawad setelah SPK ditutup sebelum dibungkar


Larian bermula pada jam 0730 atau 0800 pagi di padang kawad di atas. Hampir 300 PK di bawa mengikut kompeni dan batalion masing-masing.  Keluar dari padang kawad melalui jalan tepi laut (gambar di bawah).  Di sinilah 'hell' bermula.  Lari undur, lompat katak, jalan itik (ini antara penyebab utama PK tak boleh mencangkung 2 hari selepas orientasi. 



Jalan keluar dari padang kawad.  kanan laut dan kiri ialah blok Surau, Dewan dan kantin serta blok kediaman Bn Jebat. Jalan tepi laut ini menuju ke arah Lapang Sasar. Di simpang jalan (sebelah kanan) itulah selalunya Apek aiskrim menunggu pelanggan ketika cuaca panas terik selepas kawad atau petang.


jalan yang sama, gambar dari arah bertentangan (kiri laut, kanan blok Dewan, Dewan Makan, Surau dan Kantin)

sebelah kanan ialah bekas tapak blok Bn Kasturi
.
Dari jalan tepi laut tadi larian orentasi PK membelok ke kiri melalui jalan belakang Bn Jebat (gambar di atas). Sebelah kiri laluan ialah blok-blok Bn Jebat manakala sebelah kanannya ialah padang yang digunakan untuk PT pagi dan bersebelahan dengan Lapangsasar (Rifle Range) Kem Segenting (gambar bawah).  Di jalan ini pun pelbagai 'torturing' dilaksanakan.

Kalau dilihat dihujung padang sana, ada sebuah bukit.  Tiada siapa yang berani memasuki hutan di bukit tersebut. Walaupun bahagian lain Kem Segenting telah diratakan dan dibangunkan dengan bangunan baru Kompleks KTD, namun bukit itu masih kekal megah sehingga sekarang. Kalau bukit lain semuanya habis ditarah kenapa bukit ini tidak?.  Pasti ada sebab musababnya.

Sebelah kanan laluan orientasi ialah Lapang Sasar Segenting dan juga padang tempat PT pagi
.
Larian membelok ke kiri, ke jalan utama Kem Segenting (gambar di bawah).  Sebelah kiri jalan ialah blok-blok Bn Jebat manakala di sebelah kanan ialah bilik mandi dan tandas Bn Jebat.

kanan ialah bilik air/tandas Bn Jebat


Bilik air ini juga ada sejarah tersendiri kepada diriku. Semasa minggu kedua dan ketiga selepas melapor diri, senior cadets (intake 36) masih ada di Kem Sebatang Karah.  Masa itu kesemua PK TJP37 ditempatkan di Kem Segenting. Selepas waktu makan malam, semua senior cadets akan datang ke Kem Segenting untuk me'ragging' junior mereka. Mereka bagaikan singa lapar.  Maklumlah beberapa minggu lagi akan ditauliahkan. Macam-macamlah kita orang kena. Sengal dan ketegangan urat semasa orientasi masih belum hilang lagi.  Star jump, side roll, forward roll, press up, merangkak bawah capoi (katil), lari keliling blok tu kira biasa la.  Cuma mereka tidak dibenarkan untuk 'man handle'.
Tapi nasib aku amat baik sekali. Ada seorang senior cadet adalah rakan satu kampung dan satu sekolah ku di STMI Parit Saidi dalam tahun 73-74. Dia junior setahun denganku dan kami sama-sama aktif dalam Kumpulan Pengakap.  Malah dia sama kumpulan yang aku jadi Patrol Leader. Namanya Jasni Mughari (sekarang Lt Kol).  Bila senior menggempur berek PK, dia pun pura-pura menjerit memanggil nama aku. Dia akan herdik aku kerana kepala boot tak kilat. Kemudian dia akan bertempik "aku kira sampai 3, bawa drill boot ke tandas".  Bila sampai tandas, aku pun duduk rehat berbual-bual dengan rakan sekampung. Ketika rakan-rakan lain tengah kalut kelibut dan menderita kena lanyak dalam berek, aku relaxxxxx.
Jasni ditauliahkan dalam Kor Artileri dan kami bertemu sekali lagi (satu kursus) semasa kami sama-sama berpangkat Mejar dan menghadiri kursus staf di MTAT selama setahun di MTAT.

 
di perkarangan Blok Bn Jebat
 
sebelah kiri ialah kawasan blok-blok kediaman PK Bn Jebat, kediaman staf bujang SPK dan bangunan pentadbiran Bn Jebat serta blok-blok bilik kuliah
.
Setelah sampai di hujung kawasan blok-blok Bn Jebat dan blok kuliah larian sampai semula ke padang kawad di sebelah kiri laluan. Manakala di sebelah kanan terhidang curam bukit yang mempunyai lebih 64 anak tangga.  Di atas bukit ialah padang bola dan di sebelah padang boleh terdapat belukar yang menjadi tempat latihan senjata serta Ilmu Medan Perang (IMP).
.
 
SAYU MEMANDANG CERUN BUKIT INI
keadaan curam di sebelah kanan tangga- seperti dulu, masih lapang dari ditumbuhi pokok.

Di cerun inilah dua orang PK (TJP37); PK Chin dan PK Saharudin menemui ajal akibat kecederaan teruk kerana diarahkan oleh PTI untuk memanjat lereng bukit ini dan kemudiannnya forward roll dan side roll menuruni bukit. PK yang berpakaian PD Green dan berkasut kawad (drill boot) bergumpalan sesama mereka. Ramai yang mendapat kecederaan serius (ada yang comma) kerana terhentak batu atau tapak besi drill boot rakan-rakan sendiri. 

Habis sessi perlanyakan di lereng bukit, PK yang masih mempunyai keupayaan meneruskan perjalanan yang seolah-olah tiada penghujung. PK yang pengsan dan cedera dibawa ke RSAT.  Perjalanan seterusnya melalui jalan di sebelah kirinya adalah blok-blok Bn Kasturi, pejabat dan kediaman staf Platun Demo manakala sebelah kanannya ialah bilik air/tandas Bn Kasturi.

jalan di hadapan blok PK Bn Kasturi.  Sebelah kanan ialah bilik mandi dan tandas 
 Bilik air/tandas untuk PK Bn Kasturi. 
Kat belakang tandas ini ada pokok-pokok yang melindungi pandangan dari arah jalan. Kat situlah sesekali kalau malas nak solat Jumaat (termasuklah saya), keluar dari barisan ke masjid dan lepak atau tidur di belakang bilik air ini.  Tunggu barisan PK pulang dari masjid dan rejoin masuk baris. Zaman jahiliyah. Ya Allah, ampunilah dosa dan kelalaianku.

sebelah kiri adalah bekas tapak blok Bn Kasturi
sebelah kiri tangga naik ke padang bola (berdekatan dengan bilik air Bn Kasturi).

Di atas bukit terdapat kawasan belukar yang redup dan di bawah pokok-pokok besar itulah tempat PK dari Bn Jebat dan Kasturi belajar ilmu pengenalan, membuka, mencuci, memeriksa dan memasang senjata.

pantai ditepi padang pawai antara berek Bn Kasturi dan Jebat 
ini kemungkinan kawasan yang menempatkan Mes Perwira untuk jurulatih dan staf SPK

Selepas melalui jalan di atas, semua PK dibawa lari ke arah jalanraya utama Port Dickson menuju ke arah Kem Sebatang Karah. Masa itu semua sudah exhausted, separuh sedar, hanya mengikut arahan, lari dan lari dan lari. Peluh basah kering basah kering. Pakaian sudah kotor bolor. Semua makan yang ditelan pagi tadi sudah keluar semula. Perjuangan diteruskan. Masa ini aku rasa, nyawa aku pun tinggal tiga suku sahaja. Sambil berlari, mulut aku tak berhenti menyebut Allahu Akbar.  Ya Allah janganlah engkau habiskan nayawa aku. Jauh di lubuk hatiku, aku mintak dipengsankan supaya aku dapat terhindar dari meneruskan seksaan ini. Namun Allah tidak memaqbulkan doaku. Allah ingin aku merasai keseluruhan orientasi ini supaya hari ini aku dapat bercerita dan berkongsi pegalaman ini.

Di Sebatang Karah, agenda diteruskan. Agenda all the roll diulang semula. Kalau tadi makanan dalam perut sudah keluar kali ini tiada lagi makanan tetapi yang keluar ialah MUNTAH HIJAU.  Itu adalah istilah menggambarkan tiada apa lagi yang tertinggal dalam perut kita.

jalan ke guard room Kem Sebatang Karah

antara kawasan lanyakan PK semasa orientasi

SELEPAS 30 TAHUN.........



  
skot Affendi berada di kawasan obstacle course Sebatang Karah

di kawasan ini juga PK dilanyak untuk pusingan akhir  (all the type of rolls) dan di sini juga kebanyakan PK sampai ke tahap muntah hijau.
(terima kasih skot Fendi atas gambar-gambar ini)

Kira-kira jam 11 pagi semua PK dibawa lari semula ke Kem Segenting. Berakhirlah acara orientasi hari itu. Kembali ke berek masing  dalam keadaan lemah longlai. Tekak kering kontang, tiada lagi air dalam badan. tiada lagi sisa makanan dalam perut dan usus.  Semuanya sudah termuntah keluar. Tdak menunggu sampai ke capoi (katil), sampai kaki lima berek terus baring terlentang.  Jiwa kosong sekosongnya. Nyawa bagaikan tinggal di hujung kuku sahaja.

Malam itu seluruh blok dipenuhi oleh suara keharuan dan penyesalan. Ada racauan, ada tangisan, ada seduan ada ngongoian.  Ada yang diam terpaku bagaikan hilang ruh dibadan.  Ada yang terlentang di atas katil hanya memakai underwear. Ada yang merapu bagaikan dirasuk polong.  Hilang malu hilang segan.

Badan lemah tak bermaya. Urat kaki semuanya tegang dan kaku. Nak baring sakit, duduk sakit, berdiri sakit. Oh emak, oh ayah...menyesalnya aku. Sungguh menyesal aku memilih jalan ini. Kenapalah aku begitu bodoh.  Kalaulah aku duduk di kampong, aku hanya perlu membantu ayahku di kebun waktu pagi dan petang sahaja.  Malam aku yang punya. aku boleh ronda-ronda naik motor dengan kawan-kawan....... Ini baru hari pertama.  Ya Allah, aku ada 9 bulan lagi di sini... hanya untuk menjadi seorang Leftenan Muda.. 

Esoknya, kami dikumpulkan di dewan SPK (sebenarnya hanyalah sebuah blok (berek) kosong yang diisi kerusi sahaja. Dewan senyap sunyi.  Komandan dengan suara yang begitu sebak mengumumkan bahawa dua dari sahabat skot kami telah pulang kerahmatullah akibat kecederaan teruk semalam. Hampir kesemua gagal menahan titisan air mata.

DAN, itu bukanlah hari terakhir latihan kami di SPK.  Hari itu adalah hari pertama dn permulaan menuju satu impian iaitu memasuki semula padang kawad SPK dengan penuh kebanggaan untuk menerima tabik hormat dan ditauliahkan sebagai seorang Pegawai Muda dalam ATM.  SEMBILAN BULAN dari tarikh itu.

Maha Suci Allah
Segala Puji Bagi Allah
Allah Maha Besar

Syukur kepadamu Ya Allah, yang memberikan aku peluang kepadaku untuk hidup hingga hari ni dan berjaya mengimbau sedikit pengalaman pahit getir hampir 300 anak-anak muda yang dipanggil Pegawai Kedet Intake TJP37 untuk memetik seketul 'besi' yang dinamakan Leftenan Muda.

.......antara lokasi yang tidak dapat diingati


 
 
kurang pasti tempat ini
ini mungkin berhampiran Mes Pegawai atai RSAT - kurang pasti
 
.
.

Kem Segenting hanya nama satu tempat dalam peta geografi Port Dickson.

Bak kata pujangga "Geografi sentiasa berubah, Sejarah sentiasa bertambah".

Atas nama pembangunan, atas nama perubahan, Kem Segenting dibongkar untuk memberi laluan kepada pembinaan Kolej Tentera Darat (KTD).



Biarpun SPK Kem Segenting telah lenyap dari pandangan mata, namun selagi kami masih belum hilang ingatan, kenangan selama 9 bulan melalui hari-hari sukar tak mungkin akan lekang dari ingatan kami.


Kem Segenting dibongkar.......

 
 

Kem Segenting menjadi padang jarak padang tekukur.....

 

megah dan gagah, Kem Segenting sekarang... kini menempatkan Kompleks Kolej Tentera Darat (KTD).

  
Jalan masuk ke Kem Segenting dari jalan utama Port Dickson- Pasir Panjang
Kompleks Kolej Tentera Darat (KTD) - 2011
Markas KTD 
Kediaman (Blok) Siswa  
Masjid KTD 
Padang Kawad

Komandan pertama yang memerintah KTD Kem Segenting sejak tahun 2008 di PULADA, Ulu Tiram, Johor ialah Kol Abdul Malik bin Ali, yang merupakan salah seorang warga SKOT 37. Beliau mengakhiri tugas di KTD pada 31 Mei 2013.


PLEASE FEEL FREE TO VISIT MY ANOTHER BLOG:

coltoras1959.blogspot.com and 
toharudinairforce81.blogspot.com

No comments:

Post a Comment