SPK KEM SEGENTING 1980

SPK KEM SEGENTING 1980

Thursday, August 8, 2013

TJP37046 SKOT AJHMAN DALAM KENANGAN



KEJUTAN 1 SYAWAL 1434
s37 KEHILANGAN 
SEORANG LAGI SAHABAT 
"SKOT AJHMAN DALAM KENANGAN" 
Petang 1 Syawal 1434 bersamaan 8 Ogos 2013, aku dikejutkan dengan berita melalui SMS dari skot Abdul Razak (Presiden) yang menyatakan skot Kolonel Ajhman bin Hj Bakur telah meninggal dunia akibat kecederaan kemalangan jalan raya di Sekinchan (Tanjung Karang) pada jam 1630. Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun.

Sebaik menerima berita ini aku segera menelefon abang skot Ajhman iaitu Kol Dato Hj Selamat TUDM (CEO ATSC Sdn Bhd) untuk mendapat pengesahan.  Setelah itu beberapa maklumat pengesahan di terima dari skot-skot yang lain melalui facebook dan juga SMS.


allahyarham skot Ajhman dan isteri Salasiah Ahmad

Allahyarham Ajhman, dilahirkan pada 17 Feb 1959 di Kampong Bukit Badong, Batang Berjuntai (sekarang Bestari Jaya), daerah Kuala Selangor.

Menyertai latihan Pegawai Kedet Panggilan TJP 37 di SPK Kem Sebatang Karah mulai 2 April 1980. Semasa di SPK beliau adalah seorang Pegawai Kedet yang amat aktif dalam bidang sukan dan sosial. Kualiti kepimpinan beliau begitu menyerlah sejak dalam latihan di SPK apabila diberi amanah menyandang jawatan 'Senior Under Officer (SUO)' Batalion Tuah iaitu jawatan tertinggi seorang pegawai Kedet semasa dalam latihan. Allahyarham telah ditauliahkan ke Kor Armor DiRaja pada 24 Januari 1981.

 
almarhum skot Ajhman (duduk no 2 dari kiri)


Perawakan 'anak Jawa kampung' yang bersuara keras, suka melawak dan mudah mesra menyebabkan allahyarham mempunyai ramai kawan semasa dalam latihan kedet atau setelah ditauliahkan.

Kerjayanya menyerlah dengan diberikan pelbagai tugas mencabar seperti Pegawai Memerintah Rejimen KAD, Juruarah di MTAT, PS1 di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin TD  dan yang terakhir ialah diberi kepercayaan untuk mengetuai Tim Projek Perolehan Kereta Armor di Ankara, Turki mulai tahun 2011, jawatan yang disandang sehingga akhir hayatnya.

Darah perwira bukan hanya dimiliki oleh allahyarham Ajhman seorang dalam keluarganya. Sebelum ini, abang kandung allahyarham yang bernama Selamat telah ditauliahkan dalam TUDM dan bersara dalam pangkat Kolonel TUDM. Setelah bersara Selamat menyertai bidang swasta (industri aerospace) dan kini merupakan CEO Syarikat ATSC Sdn Bhd. Bagaimanapun kesilapan teknikal berlaku semasa pendaftaran kelahiran. Abangnya 'Selamat bin Hj Bakin' manakala 'Ajhman bin Hj Bakur'. Dalam kerjaya, nampaknya allahyarham telah berjaya menyaingi abangnya hingga mencapai pangkat Kolonel.


Semasa kemalangan ini berlaku, allahyarham adalah dalam percutian menyambut Hari Raya Syawal. Allahyarham masih betugas sebagai Ketua Tim Kereta Armour Tentera Darat di Ankara, Turki. Allahyarham dan keluarga telah berada di Ankara sejak tahun penghujung 2011.

Sehari selepas sampai ke tanah air, iaitu pada 7 Ogos 13, sehari sebelum berlaku kemalangan yang meragut nyawa skot Ajhman, beliau telah menghantar mesej kepada rakan-rakan skot melalui laman group facebook SPK INTAKE 37, berbunyi begini;

Ajhman Hj Bakur:  Salam Semua Skot, Saya dah 2 tahun tak beraya di Malaysia. Alhamdulilah tahun ini Allah berkati hasrat saya beraya di tanah air. Semoga kita dapat berjumpa dan memupuk Silatulrahim. Mohon jutaan kemaafan zahir dan batin. I will joint you all on any functions. Insyaallah.

Mesej ini akan kekal sebagai catatan terakhir dalam laman facebook.

Menurut maklumat dari kawan-kawan dan berita akhbar, kereta yang allahyarham jenis Kia Forte yang dipandu oleh anak lelakinya Kapt Kamarul Ariffin menuju ke arah Sabak Bernam telah bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Iswara yang dipandu oleh seorang pemuda (bersama tunangnya) yang memasuki laluan kereta alalhyarham dari arah bertentangan. Kedua-dua pemandu dan penumpang kereta Proton tersebut juga mati manakala seorang penumpang kanak-kanak cedera.

Allahyarham cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian, anak allahyarham yang memandu kereta cedera parah, manakala isteri dan seorang lagi anak allahyarham yang duduk di bahagian belakang, cedera ringan. Kejadian berlaku lebih kurang jam 1630H di Km 63, Jalan Utama Klang- Telok Intan berhampiran dengan Kg Pasir Panjang, Sabak Bernam.

 
keadaan kereta Kia Forte milik allahyarham yang remuk teruk akibat kemalangan
 
 
berita kemalangan yang dimuatkan dalam akhbar Harian Metro pada 9 Ogos 13
SHAH ALAM 9 Ogos – Kegembiraan tiga keluarga menyambut Aidilfitri berakhir dengan kesedihan apabila tiga termasuk seorang pegawai tentera maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 63, Jalan Teluk Intan-Klang berhampiran Pasir Panjang, Sabak Bernam dekat sini semalam. Dalam kejadian pada kira-kira 4.30 petang itu, Leftenan Kolonel Ajman Bakar, 54, dan Muhamad Zul Fazalin Baharudin, 34, maut di tempat kejadian manakala seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Sofia, 24, meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Tanjong Karang dekat sini.
Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang turut menaiki kereta Proton Iswara dipandu Muhamad Zul Fazalin turut cedera parah tetapi dilaporkan stabil dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) dekat sini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Mohamad berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Muhamad Zul Fazalin dari arah Sungai Besar menghala ke Klang terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bergesel dengan sebuah kereta jenis Nissan Hyper CVT.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan kereta Nissan Hyper CVT tersebut berpusing lalu dan dilanggar oleh kereta Kia Forte dinaiki Ajman yang tidak sempat mengelak daripada merempuh kenderaan tersebut. “Difahamkan, Ajman baharu sahaja pulang ke Malaysia dua hari lalu dari Turki untuk menyambut Syawal dan menguruskan persiapan perkahwinan anaknya pada bulan depan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, Muhamad Zul Fazalin yang menaiki kereta bersama Sofia mengalami kecederaan di seluruh badan, manakala mangsa yang berada dalam kereta Kia Forte mengalami kecederaan di kepala.
Bagaimanapun, katanya, pemandu dan lima penumpang dalam kereta Nissan Hyper CVT serta dua lagi penumpang menaiki kenderaan bersama Ajman hanya mengalami cedera ringan. Katanya, siasatan awal percaya kemalangan mungkin berpunca akibat pemandu kereta Proton Iswara berkenaan mengantuk atau cuba mengelak sesuatu ketika melalui tempat kejadian.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya yang menggunakan laluan berkenaan supaya berhati-hati dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku terutama ketika ramai umat Islam keluar berhari raya.  Katanya, seramai 10 anggota polis trafik ditempatkan di laluan antara kilometer 34 hingga 72, Jalan Teluk Intan-Klang sepanjang Op Selamat.
Kali terakhir bertemu Allahyarham ketika sama-sama menghadiri majlis perkahwinan anak skot Abu Bakar Kamarudin pada 1 April 2013 di Satay Station, Jalan Ampang. Allahyarham sebenarnya tidak menegtahui majlis skot yang mana, terana teruja dengan keinginan untuk menemui skot2 lain, allahyarham tanpa banyak soal hadir mengikuti ajakan kawan-kawan. Itulah SEMANGAT S37 yang ada dalam diri allahyarham dan sebahagian dari sahabat yang lain.

kehadiran terakhir allahyarham skot Ajhman dalam aktiviti S37 pada 7 Apr 13 di Majlis Perkahwinan anak skot Abu Bakar Kamarudin di Satay Station, Jalan Ampang


Pada 2 Syawal 1434 bersamaan 9 Ogos 2013, jenazah allahyarham skot Ajhman bin Hj Bakor telah selamat disemadikan ke alam barzah lebih kurang jam 1000H di tanah perkuburan islam Kampong Bukit Badong dengan penuh istiadat ketenteraan.

Oleh kerana pengkebumian dilakukan pada hari raya kedua, sebahagian besar skot yang mengetahui tragedi ini sedang berhariraya di kampung halaman, maka mereka (termasuk diriku) tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada sahabat kami. Di antara skot 37 yang berkesempatan menghadiri majlis pengkebumian ialah skot-skot Brig Jen Dato Hj Romlee, skot Lt Kol Abdul Razak (Pres, skot Dato Hazizan, skot Shohemi, skot Hj Hamdan Abdullah dan skot Robert Foo.
.
 
 
jenazah allahyarham diberikan penghormatan istiadat ketenteraan

sahabatku yang dikasihi, di sinilah persemadianmu yang terakhir di bumi yang fana ini... 
 
 
Jalur gemilang dilipat dan diserahkan kepada Puan Salasiah, balu allahyarham Ajhman.  Semoga ia bakal menjadi kenangan ke atas jasa dan sumbangan allahyarham sebagai perwira negara
 
antara skot 37 yang hadir memberikan penghormatan terakhir
(Lt Kol Abdul Razak (kiri) dan Brig Jen Dato' Hj Romlee)

Pahlawanku, semoga Allah melimpahi rahmat dan keampunan ke atas roh allahyarham dan seterusnya menghimpunkan rohnya bersama roh para syahidin dan muslihin. Dengan penuh keinsafan kami semua doakan agar Allah akan meluaskan dan menerangkan ruang alam barzakhmu, semoga kamu akan mudah dan fasih menjawab soalan malaikat Munkar dan Nakir. Yang pasti, kami semua akan menyusul satu persatu, hanya masa dan tempatnya sahaja yang berbeza.

Takziah untuk Puan Salasiah bt Ahmad dan anak-anak allahyarham.

Allahyarham bukan sahaja skot aku dalam ATM serta seetnik 'Jawa' bahkan kami pernah berjiran semasa tinggal di Rumah keluarga ATM, Desa Wangsa Keramat di antara tahun 2007 hingga 2010 sebelum aku berpindah ke Perumahan Tunku Osman Jewa pada awal tahun 2010 dan kemudiannya beliau bertugas ke luar negara (Ankara) untuk mengetuai Tim Projek Perolehan Kereta Perisai sehingga ke tarikh pemergian beliau ke alam baqa, beliau masih bertugas di sana.

Darah pahlawan dalam diri allahyarham telah tertumpah di daerah kelahirannya sendiri dalam peristiwa yang tragis. Kini denyutan nadi darah tersebut meneruskan kesinambungan dalam tubuh anak sulungnya Kapt Kamarul Ariffin bin Ajhman yang berkhidmat dalam ATM.


allahyarham bersama ahli keluarga

GAMBAR-GAMBAR DARI LAMAN FB ALLAHYARHAM


 
 
 
 
allahyarham meninggalkan isteri (Salasiah Ahmad) dan 5 orang anak tersayang; Kamarul Ariffin, Aiden, Nadya, Syaqiela dan Intan

AL FATIHAH
petikan doa yang ditulis (dalam fb pada 12 Ogos) oleh skot Hj Mohd Hairudin......


Ya Allah Kau tempatkanlah roh allahyarham bersama-sama orang-orang yang soleh, dilepaskan dari sebarang azab kubur, dilapangkan dan diterangi tempat roh allahyarham di alam barzah. Kau ampunilah segala dosa dan kesalahannya. Kau terimalah segala kebaikan dan amal kebajikannya. Kau permudahkan ia di alam barzah, kelak di padang mahsar dan ketika meniti titian sirotol mustaqim dan Kau masukkan ia ke dlm syurga Mu dgn Rahmat Mu. Amin

No comments:

Post a Comment